Ladang babi haram ganggu penduduk

Sisa air kumbahan yang tidak dirawat telah dilepaskan oleh pengusaha ladang babi yang menjalankan aktiviti penternakan secara haram ke dalam saliran sedia ada sehingga mengeluarkan bau tidak menyenangkan.
Sisa air kumbahan yang tidak dirawat telah dilepaskan oleh pengusaha ladang babi yang menjalankan aktiviti penternakan secara haram ke dalam saliran sedia ada sehingga mengeluarkan bau tidak menyenangkan.
A
A
A

SHAH ALAM - Operasi ladang ternakan babi di Pulau Pinang telah mengakibatkan pencemaran air sungai kerana terdapat sebahagian penternakan haiwan itu tidak mengikut piawaian peraturan dan syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Presiden Sahabat Alam Sekitar (SAM), Meenakshi Raman berkata, sisa air kumbahan yang tidak dirawat telah dilepaskan oleh pengusaha ladang terbabit ke dalam saliran sedia ada sehingga mengeluarkan bau tidak menyenangkan.

Menurutnya, antara kawasan yang bermasalah adalah Kampung Selamat, Gertak Sanggul, Valdor, Simpang Ampat dan Sungai Jawi.

Tambah beliau, pencemaran tersebut bukan sahaja telah melanggar Enakmen Penternakan Babi 2016, tetapi juga mengganggu penduduk sekitarnya dan langkah untuk merobohkan ladang ternakan adalah tindakan berkesan dalam menangani masalah itu.

“Langkah menutup operasi dan merobohkan ladang-ladang yang tidak mematuhi syarat-syarat lesen dilihat paling berkesan bagi menyelesaikan masalah pencemaran ini.

“Kita amat menyokong langkah ini kerana selain menyebabkan pencemaran parit, sungai, laut dan persekitaran, kawasan operasi ladang babi yang melanggar peraturan telah mengganggu penduduk dan orang awam.

“Kami menyambut baik ketegasan yang ditunjukkan kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap pengusaha ladang babi yang gagal mematuhi Enakmen Penternakan Babi 2016 sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran bau dan sumber air,” katanya pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah sedang menyiasat kejadian pencemaran di hulu Sungai Kulim yang dipercayai berpunca daripada aktiviti penternakan babi di perkampungan Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah, dekat Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan pencemaran itu menerusi sistem 'Notification of Pollution Event' (NPE) Tahap 1 pada jam 11 pagi, Jumaat lepas.

Mengulas lanjut, menurut Meenakshi, pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap penternak ladang babi di negeri itu sekiranya tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Kami menggesa pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Alam Sekitar bertindak tegas terhadap penternak babi yang menyebabkan bau dan pencemaran sungai,” katanya.