SST naik, harga hotel di Terengganu masih berpatutan

Harga hotel di Terengganu dijangka naik sehingga 20 peratus susulan peningkatan. Gambar hiasan 123RF
Harga hotel di Terengganu dijangka naik sehingga 20 peratus susulan peningkatan. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Harga hotel di Terengganu dijangka naik sehingga 20 peratus susulan peningkatan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus bermula 1 Mac ini.

Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abd Rahman berkata, bagaimanapun harga hotel di negeri ini masih berpatutan.

"Sebagai contoh harga satu bilik adalah sebanyak RM180 dan apabila berlaku kenaikan sebanyak 20 peratus maka ia menjadi RM220.

Noralizan
Noralizan

"Kadar baharu SST ini telah memberi kesan domino kepada seluruh rantaian bekalan industri dan secara tidak langsung menyebabkan berlaku kenaikan melibatkan elektrik, air dan bahan mentah.

"Jadi kita nasihatkan pengunjung yang datang ke Terengganu agar tidak risau kerana harga hotel di negeri ini masih berada di paras minimum berbanding tempat lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 berkata, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar SST dari enam peratus kepada lapan peratus, namun tidak meliputi perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Datin Christina Toh menyatakan harga hotel dijangka naik antara 10 hingga 30 peratus susulan peningkatan kadar SST kepada lapan peratus bermula 1 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut Toh, selain SST, faktor musim puncak seperti cuti sekolah atau perayaan juga boleh memberi impak kepada kenaikan harga tersebut.

Mengulas lanjut, Noralizan berkata, meskipun berlaku kenaikan harga namun pihak hotel tetap menyediakan perkhidmatan dan pengubahsuaian terbaik demi keselesaan pengunjung.

"Sebagai contoh apabila harga naik sedikit di Hotel Permai tetapi kita lakukan pengubahsuaian bilik menjadi lebih cantik serta baharu.

"Kita mahu pastikan pengunjung berasa puas hati dengan kualiti servis dan perkhidmatan ditawarkan seiring dengan kenaikan harga bilik hotel," jelasnya.

Dalam pada itu, Noralizan berkata, setakat ini permintaan hotel di Kuala Terengganu masih tinggi dan mendapat sambutan daripada orang ramai.

"Jika dilihat cuti sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini, rata - rata peratus yang menduduki hotel di Kuala Terengganu adalah 90 peratus dan berada paras yang agak tinggi.

"Ini menunjukkan masih ramai menempah hotel sebagai pilihan penginapan," ulasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!