Denda pengusaha naikkan harga sesuka hati - PPIM

Nadzim Johan
Nadzim Johan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Persatuan Hotel Malaysia memantau pengusaha-pengusaha hotel yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sesuka hati.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, jika ada pengusaha yang menaikkan harga keterlaluan bagi kadar satu malam penginapan, maka pihak persatuan perlu mengambil tindakan seperti denda, penggantungan lesen atau menyenarai hitam daripada beroperasi.

“PPIM mencadangkan Persatuan Hotel Malaysia berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengenai jumlah denda atau hukuman yang perlu dikenakan kepada pengusaha ingkar.

“Saya merasakan denda sahaja tidak mencukupi sebaliknya, pihak persatuan perlu mempertimbangkan untuk menggantung lesen dan menyenarai hitam pengusaha yang gagal patuh terhadap amaran pertama,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Nadzim menjelaskan, faktor inflasi serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sukar dibendung, namun pemain industri perhotelan harus mencari solusi untuk tidak memindahkan kos sepenuhnya kepada pengguna.

Ujar beliau, pengusaha hotel tidak boleh bersikap mementingkan periuk nasi sendiri semata-mata.

“Jangan jadikan alasan inflasi dan SST untuk kalian (pengusaha hotel) menaikkan harga penginapan.

“Pengusaha hotel wajar bersama rakyat. Jangan pentingkan diri sendiri dengan menaikkan harga demi keuntungan dan tidak mahu rugi,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nadzim berkata, pengusaha perniagaan berkenaan juga mesti mempertimbangkan untuk tidak membuang kesemua barangan yang masih berkualiti kerana ia mungkin boleh dipakai semula.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu bijak menguruskan perniagaan dalam situasi ekonomi yang mencabar.

“Kerugian boleh diatasi dengan kaedah penjimatan lain. Kita tidak mahu apabila gula naik 10 sen tetapi teh tarik pun naik 10 sen walaupun ia tidak memerlukan gula. Itu yang kita tidak mahu pengusaha hotel lakukan.

“Kalau masalah itu tidak dibendung, saya menjangkakan pengusaha hotel akan mengalami kerugian disebabkan orang ramai memilih untuk tidak menginap di hotel kerana harga ditawarkan begitu tinggi,” tegasnya.

@sinarharianonline 'Inflasi, SST bukan alasan naikkan harga hotel' - Nadzim #SinarHarian#BuletinTikTok#PPIM#Hotel original sound - Sinar Harian