Industri pelancongan tempatan berisiko lumpuh perlahan-lahan

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

KENAIKAN kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus berkuat kuasa pada 1 Mac ini berisiko memberi impak negatif terhadap industri pelancongan negara susulan kadar penginapan hotel yang dijangka meningkat antara 10 hingga 30 peratus.

Jangkaan kenaikan harga itu disuarakan oleh Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Datin Christina Toh, meskipun yakin ia tidak akan menjejaskan tempahan hotel di Malaysia.

Namun, perkembangan mengenai kenaikan harga penginapan hotel tentunya bukan perkara yang enak untuk didengar, tambahan pula ketika ini, industri pelancongan negara sudah cukup terkesan dengan negara jiran khususnya Thailand apabila masyarakat kita lebih memilih bercuti di negara gajah putih itu.

Harga penginapan yang jauh lebih murah menjadi alasan mengapa orang ramai lebih memilih bercuti di Thailand berbanding dalam negara selain beberapa faktor lain yang disifatkan lebih menjimatkan.

Justeru, perkembangan ini dikhuatiri menggagalkan salah satu usaha 'memujuk' rakyat Malaysia untuk menikmati pelancongan yang lebih berbaloi dalam negara sendiri.

Pengusaha-pengusaha hotel juga nampaknya tidak mempunyai banyak pilihan selain menaikkan harga selari dengan kenaikan kos yang mereka terpaksa tanggung.

Pelancong asing khususnya daripada negara-negara maju mungkin tidak begitu terkesan disebabkan mata wang mereka yang lebih tinggi.

Namun adakah kehadiran mereka sudah cukup untuk menjamin pembangunan industri pelancongan Malaysia?

Artikel Berkaitan:

Sedangkan, rakyat Malaysia juga perlu mengambil bahagian untuk bersama-sama menyokong industri pelancongan tempatan.

Adakah nanti kita terpaksa melihat industri pelancongan negara lumpuh perlahan-lahan?

Dalam hal ini, kerajaan perlu lakukan sesuatu yang benar-benar memberi impak dan membantu industri pelancongan tempatan yang menjadi periuk nasi rakyat sendiri.