Penduduk terjejas cerun runtuh kembali ke penempatan asal hujung 2025

Sebelum ini kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dilaporkan berkata akan memendekkan tempoh perolehan bagi memperbaiki cerun di penempatan di Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata dekat sini yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh, 12 Oktober tahun lalu.
Sebelum ini kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dilaporkan berkata akan memendekkan tempoh perolehan bagi memperbaiki cerun di penempatan di Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata dekat sini yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh, 12 Oktober tahun lalu.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Ruil di sini yang diarah mengosongkan kediaman sejak Oktober lepas susulan tanah runtuh dijangka kembali ke penempatan itu dalam tempoh dua tahun.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan kajian menyeluruh sebelum memulakan kerja membaik pulih cerun dan kawasan terjejas sehingga November tahun hadapan.

"Kerja belum dimulakan kerana JKR masih membuat penilaian tentang pergerakan tanah di kawasan terlibat bukan saja tempat kejadian tetapi termasuk kawasan berhampiran seperti tangki air besar.

"Bagaimanapun setakat ini tiada pergerakan tanah lagi di kawasan berkenaan dan kerja membaik pulih dijangka melibatkan kos sebanyak RM3.8 juta," katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui Bernama selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama penduduk terjejas yang telah dipindahkan ke Kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran kawasan penempatan itu di sini pada Sabtu.

Menurutnya kesemua 89 penduduk daripada 17 keluarga telah dipindahkan ke kediaman kuarters itu dengan kos sewa dibiaya oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) pada kadar lingkungan RM500 seunit selama dua tahun sementara mereka pulang semula ke kediaman asal.

Sebelum ini, kesemua mangsa yang terkesan ditempatkan secara sementara di Dewan Komuniti Sungai Ruil selepas kejadian cerun runtuh berlaku pada kira-kira 10.56 pagi 12 Oktober lepas dan dipindahkan ke Kuarters TNB bermula awal bulan ini.

Terdahulu, Rubiah menyaksikan penyerahan dokumen perjanjian antara pihak JKR dan JAKOA bagi Penyerahan Projek Kerja-Kerja Penambahbaikan dan Pembaikan Sistem Bekalan Air Kampung Sungai Ruil yang dimulakan pada Ogos 2022 menelan kos RM2.4 juta di bawah peruntukan JAKOA.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, projek itu sepatutnya siap pada November lalu namun kejadian tanah runtuh menyebabkan pertambahan masa dan akhirnya siap pada 19 Disember.

Pada program yang turut dihadiri Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Sapiah Mohd Nor itu, beliau turut beramah mesra dan menyertai acara memasak secara merewang bersama penduduk kampung bagi menyemarakkan rasa kekitaan dan mengeratkan persaudaraan antara masyarakat setempat dengan pemimpin.

Turut diadakan acara gotong-royong dan sukaneka bagi kanak-kanak Orang Asli dari perkampungan berkenaan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28