16 keluarga terjejas tanah runtuh Sungai Ruil, Cameron Highlands kini lebih selesa

Baderul Sham (dua dari kanan) menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Kunci Kuarters TNB Sungai Ruil, Cameron Highlands kepada JAKOA pada Isnin.
Baderul Sham (dua dari kanan) menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Kunci Kuarters TNB Sungai Ruil, Cameron Highlands kepada JAKOA pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah 16 keluarga Orang Asli yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Sungai Ruil, Cameron Highlands, pada Oktober lalu kini menarik nafas lega apabila telah ditempatkan sementara di kuarters bermula Jumaat lalu.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berkata, pelbagai bantuan juga telah diberikan oleh agensi berwajib bagi meringankan beban semua mangsa terlibat.

"Mangsa tanah runtuh di Sungai Ruil, Cameron Highlands pada 12 Oktober lalu boleh menjalani kehidupan selesa selepas menerima kunci kuarters penempatan sementara bermula 1 Februari daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang.

"Pihak JAKOA ingin menyampaikan setinggi penghargaan kepada pihak TNB yang telah menjalankan kerja-kerja baik pulih kuarters melibatkan cat, pendawaian semula, piping secara CSR (program khidmat masyarakat) dengan nilai RM103,000 dan pengecualian deposit sewa selama tiga bulan.

"TNB juga berbesar hati memberi sumbangan berupa periuk nasi elektrik bagi setiap ketua isi rumah (KIR) yang mendiami kuarters tersebut sehingga kerja-kerja pembaikan cerun dijangka selesai pada November 2025," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam kejadian pada 12 Oktober lalu, enam rumah serta tiga motosikal terjejas, dan penduduk diarah mengosongkan kediaman masing-masing atas faktor keselamatan.

Kejadian dikenal pasti berpunca dari paip bawah tanah yang pecah dan kekerapan hujan, terutama pada waktu malam.

Siasatan awal mendapati kerja baik pulih cerun yang runtuh akan mengambil masa dua tahun membabitkan peruntukan lebih RM3 juta.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut JAKOA, pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkesempatan menyantuni penduduk terlibat yang berteduh di Dewan Komuniti Sungai Ruil.

Majlis Simbolik Penyerahan Kunci Kuaters TNB Sungai Ruil kepada JAKOA diadakan pada 5 Februari (Isnin), dan disampaikan oleh Pengurus Besar TNB Negeri Pahang, Datuk Baderul Sham Saad.

Hadir sama, Ahli Parlimen Cameron Highlands merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Chi Yang, serta Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Sapiah Mohd Nor.