Empangan Air Itam susut: Rakyat Pulau Pinang diminta berhemah guna air

Kapasiti efektif Empangan Air Itam dilaporkan menurun sebanyak 0.4 peratus atau kurang daripada 0.04 peratus sehari.
Kapasiti efektif Empangan Air Itam dilaporkan menurun sebanyak 0.4 peratus atau kurang daripada 0.04 peratus sehari.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kapasiti efektif Empangan Air Itam dilaporkan menurun sebanyak 0.4 peratus atau kurang daripada 0.04 peratus sehari.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan, pada 5 Februari lalu kapasiti efektif empangan itu ialah 32.8 peratus namun pada 111 hari kemudian termasuk pada hari kemuncak Tahun Baharu Cina lalu ia menurun kepada 32.4 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir K Pathmanatham berkata, keadaan itu berlaku berikutan pelaksanaan “Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024” (AIDAP 2024) oleh PBAPP untuk mengekalkan kapasiti efektif empangan itu selama yang mungkin, sehingga musim hujan yang akan datang.

Menurutnya, menerusi AIDAP 2024, PBAPP telah melaksanakan empat langkah kontingensi kejuruteraan bekalan air berikut seperti meminimumkan pelepasan air mentah dari Empangan Air Itam ke Loji Rawatan Air (LRA) Air Itam sebanyak 75 peratus setiap hari, daripada 44 juta liter sehari (JLH) kepada 11 JLH.

"Kita juga mengoptimumkan pengambilan air mentah daripada muka sauk utama dan muka sauk Tat (dua sumber air mentah lain untuk LRA Air Itam) pada kadar enam JLH.

"Selain itu ia dapat mengurangkan penghasilan air terawat di LRA Air Itam pada 66 peratus daripada 50 JLH kepada to 17 JLH sehari,"katanya menerusi kenyataan di sini, pada Sabtu.

Tambah Pathmanathan, AIDAP 2024 juga akan mengepam 33 JLH air terawat dari LRA Sungai Dua (Seberang Perai) ke kawasan perkhidmatan LRA Air Itam.

Katanya, langkah ini menggantikan kekurangan 33 JLH dalam aliran keluar air terawat dari LRA Air Itam.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga Jumaat lalu, paras Sungai Muda masih ditahap stabil pada 2.02m manakala kapasiti Empangan Muda dan Empangan Beris yang melepaskan air ke Sungai Muda dilaporkan masing-masing 74.8 peratus dan 100 peratus.

Jelasnya, sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini, PBAPP sepatutnya mampu untuk mengekalkan langkah-langkah kecemasan AIDAP 2024 dengan selamat untuk tempoh 30 hingga 60 hari akan datang.

Mengulas mengenai keadaan cuaca yang sangat panas dan kering ketika ini konsep AIDAP 2024 oleh PBAPP dapat meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam secara beransur-ansur, dengan kurang melepaskan air daripada purata aliran masuk ke empangan.

Bagaimanapun, dengan hanya 1.5 milimeter (mm) taburan hujan sejak 1 Februari lalu dan suhu meningkat sehingga 36ºC, purata aliran masuk air ke Empangan Air Itam adalah kurang daripada biasa.

Katanya, daripada 15 JLH, aliran masuk empangan telah berubah-ubah antara 10 dan 12 JLH dari 3 muka sauk empangan: muka sauk Balik Pulau, Sungai Tepi dan Sungai Pinang Barat.

Hasilnya, kapasiti efektif empangan menurun sedikit sebanyak 0.4 peratus dalam tempoh dari 5 Februari hingga 16 Februari.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mengurangkan penggunaan air sementara PBAPP melakukan yang terbaik untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air yang baik secara berterusan di Air Itam.

"Kami memohon kerjasama dan sokongan pengguna air untuk menggunakan air dengan berhemat.

"Dengan mengurangkan penggunaan air, pengguna di Air Itam akan membantu mengekalkan empangan yang memberi perkhidmatan kepada mereka dan komuniti mereka," katanya lagi.