X

Kindly register in order to view this article
!

Cari jalan halalkan air zamzam

A
A

KINI timbul tular di laman sosial yang mempersoalkan kenyataan Kementerian Kesihatan yang akan mendenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun terhadap sesiapa yang didapati menjual air zamzam. Timbul juga tular yang tak manis membandingkan mengapa arak yang haram itu dihalalkan penjualannya di Malaysia, sedangkan air zamzam yang paling berkhasiat itu pula yang diharamkan?

Sebenarnya pengharaman penjualan air zamzam itu adalah berikutan dengan arahan kerajaan Arab Saudi yang mengharamkan penjualannya. Malah, sejak 2012 lagi kerajaan Arab Saudi telah menangkap anggota sindiket menjual dan mengeksport air zamzam. Berikutan itu, pada 2017, kerajaan Arab Saudi mengharamkan terus sebarang penjualan dan pengeksportan air zamzam.

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, air zamzam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air setelah mendapat pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

Untuk kes air zamzam pula, Kementerian Kesihatan pula (KKM) menegaskan tiada pihak termasuk pe-

ngedar atau syarikat yang mendapat lesen pengimportan dan penjualan air zamzam berikutan larangan kerajaan Arab Saudi terhadap tindakan itu.

Maknanya, air zamzam yang terdapat di negara kita ini datang daripada mereka yang memperoleh air itu ketika mengerjakan haji, umrah atau daripada saudara dan kenalan. Ada juga mereka yang berulang-alik ke sana mengambil kesempatan untuk menjualnya. Air zamzam adalah air yang terbaik di muka bumi. Banyak sekali kes-kes di sekeliling kita yang menceritakan betapa air zamzam yang diminum membantu dalam memulihkan pelbagai penyakit. Malah, terdapat hadis riwayat Ibn Majah yang menyatakan, “Air zamzam bergantung pada sesiapa yang meminumnya” iaitu khasiatnya terletak kepada niat sesiapa yang meminumnya.

Sayang sekali, air yang datangnya dari syurga menurut riwayat ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf dilarang dijual berikutan dengan sindiket penipuan air mulia itu. Kalau kita berdegil dan mendapatkan air itu melalui jalan yang menyalahi undang-undang, keberkatannya hilang. Sayang sekali kita dah sukar memperoleh air yang berkhasiat itu.

Jika pengharaman kerajaan Arab Saudi itu berpunca kerana penipuan, pihak kita seharusnya mencari jalan agar air zamzam dapat ‘dihalalkan’ melalui cara yang sah menurut undang-undang kerajaan Arab Saudi dan juga piawaian KKM.

Dalam hal ini, pihak Tabung Haji, melalui perhubungan baik dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi harus berunding supaya air zamzam dapat dibawa masuk ke negara ini secara sah.

Kos yang harus diuruskan ialah dari segi pengangkutan, pembotolan dan pengedaran. Pengangkutan adalah kos yang boleh ditanggung oleh pihak Tabung Haji dengan harga minimal daripada syarikat penerbangan mahupun perkapalan. Begitu juga, pembotolannya boleh dilaksanakan oleh syarikat koperasi terlantik yang berminat. Dan, pengagihannya boleh pula dilakukan oleh jawatankuasa-jawatankuasa masjid dengan harga yang minimum.

Ini adalah amal jariah yang berupa perkhidmatan. Sekali pandang, mungkin idea ini nampaknya terlalu simple. Tidak perlulah sampai begitu operasinya hanya untuk mendapatkan air zamzam. Tetapi, sedar tak, ramai dalam kalangan kita sanggup membeli air import dari mata air di pergunungan negara barat semata-mata kerana khasiatnya. Begitu juga, ramai yang berasa hebat apabila membeli air mineral tempatan yang mahal.

Kalau kita bertanya kepada mereka yang pernah merasa air zamzam, air apakah pilihan mereka? Kita dah tahu jawapannya! Lagi pula, air zamzam berkeupayaan untuk memulih. Ruginya jika kita tidak mahu mendapatkan ‘ubat’ yang terbaik itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!