Kilang sawit didenda RM10,000 lepaskan efluen lebih had

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebuah kilang kelapa sawit didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin kerana melepaskan efluen melebihi had ditetapkan.

Hakim Nazlyza Mohammad Nazri membuat keputusan itu selepas wakil syarikat mengaku salah melepaskan efluen dengan kandungannya melebihi had yang ditentukan di bawah Syarat Jadual Pematuhan Lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Akta 127).

Berdasarkan pertuduhan, kilang kelapa sawit yang beroperasi di Dungun itu didapati telah melepaskan efluen dengan kepekatan oksigen biokimia yang diperlukan (BOD), 30⁰C yang mempunyai kepekatan sebanyak 234 mg/l iaitu melebihi had 100 mg/l yang ditetapkan, selama tiga hari.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh pegawai pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu.

Sementara itu Pengarah JAS Terengganu, Ramli Abd Rahman berkata, Seksyen 16(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memperuntukkan pemegang sesuatu lesen hendaklah mematuhi had-had dan syarat-syarat lesen itu dalam tiap-tiap hal.

"Oleh itu saya berharap semua pemegang lesen mematuhi arahan ini bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

"JAS tiada kompromi dan sentiasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar had ditetapkan bagi menjamin kelestarian alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.