Andalusia, Bank Islam meterai MoU mudahkan urusan umrah, haji

Ida Riswana (dua dari kanan) bersama Zamree (dua dari kiri) bertukar memorandum persefahaman disaksikan Mizan (kiri) pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Bank Islam Malaysia Berhad dan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd pada Jumaat. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Ida Riswana (dua dari kanan) bersama Zamree (dua dari kiri) bertukar memorandum persefahaman disaksikan Mizan (kiri) pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Bank Islam Malaysia Berhad dan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd pada Jumaat. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

ANDALUSIA Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menjalinkan kerjasama strategik bersama Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada Jumaat.

Ia bertujuan membantu dan memudahkan urusan umat Islam di negara ini dalam mengerjakan ibadah umrah serta haji menerusi Pembiayaan Peribadi-i.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, kolaborasi bersama pelopor sistem kewangan 100 peratus berlandaskan syariah itu tepat pada waktunya di mana umat Islam boleh mendapatkan cara mudah untuk menunaikan ibadah di tanah suci.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu teragak-agak untuk memohon pembiayaan pinjaman minimum RM10,000 dengan tempoh bayaran semula lima tahun hingga 10 tahun.

“Pada pandangan saya, menjalani ibadah umrah dan haji dengan tenang dari sudut kewangan jauh lebih baik berbanding sentiasa mencari pakej murah tanpa usul periksa, menunggu giliran ‘main kutu’ atau tunggu sehingga cukup simpanan.

“Perkara ini dirujuk berkali-kali dalam Muzakarah Haji dan fatwa kebangsaan bahawa hukumnya adalah dibolehkan serta diharuskan.

“Asalkan mematuhi tiga syarat seperti tiada unsur riba, ada pendapatan melebihi sara diri untuk lunaskan hutang dan faktor masa iaitu dibuat atas dasar menyegerakan perintah ALLAH SWT,” katanya ketika berucap dalam majlis menandatangani MoU di salah sebuah hotel terkemuka di sini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin; Pengarah Perbankan Runcit dan Pengagihan Bank Islam, Zamree Mohamed; Pengarah Aset Runcit, Anuar Amin Ayob; Pengarah Deposit dan Kad, Mohd Noor Jab; pemegang taruh dan ahli lembaga pengurusan Andalusia.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ida, Andalusia yakin pembiayaan berdasarkan Murabahah Tawwaruq tersebut berlandaskan hukum maqasid syariah dan diharuskan oleh syarak bagi membolehkan ramai umat Islam terutamanya golongan muda serta sihat untuk menunaikan ibadah berkenaan.

Ida Riswana, Mizan. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Ida Riswana, Mizan. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan-Runcit Bank Islam, Mizan Masram memaklumkan, pihaknya berbangga menjadi hab penyelesaian kewangan sehenti melalui penyediaan pelbagai produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelanggan untuk menunaikan umrah dan haji.

Beliau berkata, pihaknya membantu mencukupkan simpanan melalui kemudahan Pembiayaan Peribadi-i sehingga kemudahan pembelian tanpa tunai menerusi Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji serta Kad Kredit-i Bank Islam.

Jelasnya, pakej pembiayaan peribadi berkenaan turut memberi peluang kepada bakal haji yang berkemampuan dan berupaya untuk membayar balik pembiayaan secara berstruktur mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

“Diharapkan ia dapat memberi galakan kepada generasi muda untuk menyegerakan ibadah ini ketika masih sihat.

“Kami juga menggalakkan pelanggan untuk ambil Pelan Takaful kerana jika berlaku kematian semasa jemaah berada di sana, jumlah tersebut akan dilangsaikan melalui takaful dan waris yang ditinggalkan tidak perlu menanggung hutang ini,” ujarnya.