Selesai ketegangan di kepulauan Natuna secara diplomasi: Abdul Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Ketegangan berkaitan sempadan dan hak perairan di kawasan pertikaian Laut China Selatan di kepulauan Natuna antara China dan Indonesia perlu diselesaikan secara diplomasi dan aman.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, saranan itu bagi mengelakkan keadaan menjadi bertambah rumit.

Beliau berkata, China dan Indonesia juga disarankan agar menghentikan tindak balas dan provokasi yang boleh memburukkan keadaan.

"Bukan hanya di kawasan terbabit tetapi (ketegangan) akan menjejaskan hubungan dua hala terutamanya di antara negara-negara Asean dan China yang sejak sekian lama erat baik dari segi ekonomi, kebudayaan dan sejarah.

"Justeru itu, Pas menggesa agar China dan Indonesia menggunakan saluran diplomatik dan rundingan untuk menyelesaikan pertikaian tersebut.

"Dalam masa sama, semua pihak harus menghormati undang-undang antarabangsa dalam usaha mengelak pertikaian menjadi bertambah buruk dan menjejaskan kestabilan Asia Tenggara mahu pun Laut China Selatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Indonesia semalam mengerahkan empat kapal perang tambahan ke kepulauan Natuna berhampiran kawasan pertikaian di Laut China Selatan selepas kapal milik Beijing enggan meninggalkan kawasan tersebut.

Menurut laporan CNA memetik kenyataan Pegawai Hal Ehwal Awam dengan Kawalan Armada Pertama Tentera Laut Indonesia, Komander Fajar Tri Rohadi berkata, ia akan menyertai empat kapal lain pada hari ini. Indonesia juga ada ratusan anggota keselamatan di sana.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas menyarankan agar semua pihak mengamalkan semangat setiakawan Asean dan China yang telah lama terjalin.

Menurutnya, konflik dan konfrontasi tidak akan menguntungkan mana-mana pihak tetapi Asean dan China yang akan rugi akhirnya.

"Pas menegaskan Laut China Selatan wajar kekal aman dan bebas konflik dan pertikaian yang mampu bertukar menjadi medan tempur dan perang harus dielakkan kerana dikhuatiri akan menjejaskan kestabilan Asia Tenggara sama ada dari sudut geopolitik atau ekonomi," katanya.