MDHT hanya beri notis, tidak rampas barang penjaja

Hantaran di Facebook Majlis Daerah Hulu Terengganu berhubung operasi banteras penjaja di lampu isyarat menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
Hantaran di Facebook Majlis Daerah Hulu Terengganu berhubung operasi banteras penjaja di lampu isyarat menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Tiada sebarang rampasan barang atau kompaun dikenakan dalam operasi membanteras penjaja jalanan di kawasan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Ahad lalu.

Pembantu Penguatkuasa MDHT, Nur Hafizah Mohamed Zaki berkata, operasi disertai lima anggota itu hanya memberi notis peringatan kepada dua peniaga di persimpangan lampu isyarat menghala ke Sekayu di sini.

Menurutnya, operasi pada jam 3.50 petang itu diketuai oleh Ketua Operasi, Ahmad Kamarul Firdaus Abdul Rashid bersama Jibril Mat Ali, Nuzul Nadia Mat Lazim serta seorang pemandu.

"Tiada sebarang rampasan dibuat kerana kita cuma memberi notis pemberitahuan kesalahan kepada dua peniaga bahawa mereka berniaga tanpa lesen.

"Kita juga memberi nasihat dan tempoh supaya mereka menghentikan aktiviti itu serta-merta," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, pelbagai reaksi diterima susulan gambar operasi yang dijalankan MDHT terhadap penjaja jalanan di persimpangan lampu isyarat itu tular di media sosial.

Penguatkuasaan terhadap peniaga di persimpangan lampu isyarat dibuat berdasarkan beberapa peraturan antaranya Peraturan Lalulintas 1959 di bawah Akta Pengangkutan Jalan, Undang-Undang Kecil Penjaja di bawah Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan, Akta Kawalan Harga & Anti Percatutan 2011 serta Perintah Perlabelan Barang Sedia Bungkus 1993.

Artikel Berkaitan: