Wanita dakwa isteri kedua Samy Vellu mohon jadi pencelah

Meeriam Rosaline dan Samy Vellu
Meeriam Rosaline dan Samy Vellu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 18 Februari depan bagi pendengaran permohonan wanita yang mendakwa dirinya sebagai isteri kedua Tun S Samy Vellu untuk menjadi pihak ketiga atau pencelah dalam saman difailkan oleh Datuk Seri S Vell Paari terhadap bapanya.

Peguam, RSN Rayer yang mewakili Meeriam Rosaline Edward Paul berkata, sekiranya pada tarikh itu permohonan anak guamnya untuk menjadi pencelah ditolak, mahkamah akan menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada Samy Vellu berupaya menguruskan hal ehwal dirinya.

“Sekiranya permohonan kami dibenarkan, mahkamah akan memberikan arahan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pengurusan kes dalam kamar Hakim, Datuk Mohd Sofian Abd Razak.

Meeriam Rosaline memfailkan permohonan untuk menjadi pihak ketiga atau pencelah pada 17 Disember tahun lalu.

Pada 2 Disember sebelum ini, Vell Paari, 57, selaku plaintif memfailkan saman terhadap Samy Vellu dengan menamakan bekas Menteri Kerja Raya itu sebagai defendan tunggal.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak fail saman periksa tahap mental Samy Vellu

Meeriam mahu campur tangan kes Vell Paari saman Samy Vellu

Artikel Berkaitan:

Menerusi saman itu, Vell Paari memohon perintah tarikh, masa dan tempat ditetapkan untuk siasatan dilakukan mengikut Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001 terhadap bapanya bagi mengetahui jangka masa bapanya mengalami kecelaruan mental.

Beliau turut memohon perintah mahkamah untuk mengetahui sama ada bapanya berupaya memberi arahan kepada peguam untuk bertindak bagi pihak Samy Vellu selain menentukan jenis harta yang dimiliki oleh bapanya.

Vell Paari yang juga bekas Setiausaha Agung MIC turut memohon Consultant Neuropsychiatrist dan Ketua Neurobehavioral Medicine Services dari Penang Advensitive Hospital, Dr Prem Kumar Chandrasekaran, 52, atau pakar kesihatan mental lain diberi akses untuk memeriksa bapanya secara peribadi dan menyediakan laporan berhubung keupayaan mental defendan.

Rosaline yang mendakwa sebagai isteri kedua Samy Vellu, memfailkan permohonan interim di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Mac tahun lalu bagi mendapatkan akses tanpa syarat ke atas bekas Presiden MIC itu, selain memohon mahkamah mengeluarkan perintah bayaran nafkah RM25,000 kepadanya setiap bulan.