Jho Low ugut jadikan hidup seakan 'neraka' - Jasmine Loo

Jasmine Loo (kiri) dan Jho Low.
Jasmine Loo (kiri) dan Jho Low.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mengugut akan menjadikan hidupnya seakan berada di ‘neraka’ jika dia cuba untuk pulang ke tanah air.

Jasmine Loo Ai Swan, 50, berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan, dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB, membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi pendakwaan ke-50 ini berkata, dia tidak berniat untuk melarikan diri kerana ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlangsung, dia berada di Bangkok, Thailand.

Selepas keputusan PRU diumumkan, dia mengetahui bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh bekas Presiden UMNO ini telah ditumbangkan.

“Oleh itu, Jho Low beritahu saya supaya kekal berada di Bangkok kerana keadaan akan menjadi sangat buruk sekiranya kembali ke Malaysia.

“Dia janji akan menyelesaikan masalah itu dan meminta saya untuk memberinya lebih masa,” katanya.

Deepa: Apa yang anda takutkan sangat?

Jasmine: Saya takut nasib saya akan jadi sama seperti Xavier Andre Justo (pemberi maklumat berkaitan salah laku 1MDB), saya tidak sanggup untuk menghadapinya.

Artikel Berkaitan:

Deepa: Jadi semasa anda berada di luar negara selama lima tahun, bagaimana anda bertahan, adakah anda bekerja?

Jasmine: Tidak, saya hidup dengan apa sahaja dana yang ada, mungkin lapan hingga sembilan bulan, Jho Low akan menghantar seseorang atau individu yang tidak saya dikenali untuk menghantar wang kira-kira AS$2,500.

Deepa: Anda sanggup terima wang itu?

Jasmine: Ya, saya tahu, ia sangat keji kerana bergantung kepada orang yang telah bersumpah untuk menjadikan hidup saya seperti neraka hidup tetapi saya tiada pilihan lain.

“Saya rasa seperti 'terperangkap' kerana mahu pulang dan berjuang untuk nyawa namun tidak mahu menjadi Xavier kedua (yang menerima hukuman penjara di negara Gajah Putih itu),” katanya.

Xavier merupakan warga Switzerland dan bekas pegawai PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), menjadi pemberi maklumat yang mendakwa perjanjian usaha sama antara PetroSaudi dan 1MDB dibuat semata-mata untuk mencuri wang.

Pada Disember 2016, pihak berkuasa Thailand membebaskan Xavier yang dipenjara tiga tahun atas tuduhan memeras ugut dan cubaan memeras ugut berkait skandal 1MDB.

Bagaimanapun, wanita ini berkata, dia sentiasa menanam hasrat untuk kembali dan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang mana usaha itu akhirnya membuahkan hasil pada Julai tahun lalu.

Ketika itu, dia berusaha untuk mencari jalan pulang ke Malaysia menggunakan laluan selamat tanpa diketahui oleh Jho Low.

Beliau berkata, sekitar April 2021, peguamnya menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara dengan menawarkan kerjasama dengan pihak berkuasa sebagai ganti kepada kepulangnya ke negara ini.

Sebelum ini, Jasmine dikatakan salah seorang sekutu rapat Jho Low yang didakwa terbabit dalam skandal kewangan 1MDB malah disenaraikan sebagai orang dikehendaki.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine, Casey Tang Keng Chee, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan Eric Tan.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Pada 7 Julai 2023, Jasmine ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama peguamnya bagi siasatan berkaitan kes 1MDB.