Bekas peguam 1MDB maklum tidak masuk rumah Najib

Najib (tengah). Foto Bernama
Najib (tengah). Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa dia tidak pernah memasuki kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menghantar sebarang dokumen berkaitan syarikat pelaburan strategik Negara itu.

Jasmine Loo Ai Swan, 50, berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB, membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-50 ini berkata, setiap kali mahu menyerahkan dokumen kepada bekas Presiden UMNO tersebut, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low akan menunggunya di pintu kediaman Najib di Langgak Duta, di sini.

Menurutnya, salah satu kejadian ialah pada tahun 2012 dan 2013, Jho Low mengarahkannya supaya dokumen pemegang saham keutamaan 1MDB dan Minit Wakil Syarikat Induk (SSRP & MR) memberikan secara serahan tangan sendiri.

“Saya juga akan memberi mana-mana dokumen kepada individu yang diarahkan oleh Jho Low, sebelum mendapatkan tandatangan Najib.

“Selepas itu, Jho Low atau individu lain akan menyerahkan SSRP & MR ini kepada saya,” katanya.

Jika ia tidak serahkan, Jasmine berkata, Jho Low akan menghantar pesanan kepada melalui aplikasi Black Berry Messenger (BBM) untuk memastikan dokumen berkenaan diserahkan kepada pejabat 1MDB bagi tindakan lanjut.

Deepa: Apa maksud anda, menunggunya di pintu kediaman?

Artikel Berkaitan:

Jasmine: Jho Low suruh saya tunggu di depan pagar pintu kediaman Najib, malah ada juga kejadian dia sudah pun berada di sana (sebelum dia tiba). Saya tidak masuk dalam rumah Najib dan hanya tunggu Jho Low di pintu rumah itu.

Deepa: Adakah setiap kali dokumen itu diserahkan kepada Jho Low, kamu kemudiannya akan dapatkannya semula beserta tandatangan Najib?

Jasmine: Ya.

Sementara itu, wanita ini berkata, terdapat amalan ‘Chinese Wall’ di 1MDB iaitu, kakitangan hanya bekerja dalam konteks tugas masing-masing dan tidak mencampuri hal ehwal bahagian lain.

Dia juga menyatakan tidak mengetahui urusan kewangan melainkan perkara yang dinyatakan atau dimaklumkan dalam sesuatu projek.

“Mengenai urusan berkenaan secara spesifik, saya tidak terbabit dalam penyediaan transaksi kewangan dan hanya berperanan dalam menyediakan dokumen perjanjian,” katanya.

Najib, 71, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung petang ini.