Tiga anggota trafik minta RM100 daripada pelancong UK ditahan kerja

Razarudin. Foto Bernama
Razarudin. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Tiga anggota trafik yang ditahan berhubung kes menerima wang RM100 daripada pasangan pelancong warga United Kingdom (UK), bulan lalu telah ditahan kerja.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keputusan itu dibuat sementara kes berkenaan diteruskan bagi tujuan pendakwaan.

Beliau berkata, pihaknya telah menghantar kertas siasatan kes itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.

"Kita sudah pun menghantar kertas siasatan kepada AGC dan itu terserah kepada keputusan Peguam Negara untuk keputusan berkenaan (pendakwaan).

"Di pihak polis, ketiga-tiga mereka telahpun dikenakan tindakan tahan kerja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Tahun 2024 di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri; Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dan Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim.

Pada 1 Februari lalu, Mahkamah Majistret Ipoh menolak permohonan sambung reman tiga anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu.

Kesemua mereka berusia antara 37 hingga 42 tahun sebelum ini direman tiga hari bermula 30 Januari bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi 50 saat yang dimuat naik di laman X @doktorrezz memaparkan pasangan warga UK disaman oleh anggota polis trafik akibat kesalahan memandu laju.

Pasangan pelancong dikenali sebagai ‘UK Van Lifers’ telah ditahan disyaki di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Dalam video berkenaan, anggota polis trafik itu memberitahu pasangan tersebut bahawa mereka memandu sekitar 80 kilometer sejam berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60 kilometer pada jam 11.30 pagi.

Susulan itu, pasangan berkenaan bersetuju untuk membayar secara tunai dan menyerahkan wang berjumlah RM100 tanpa diberikan surat saman.