Identiti polis trafik minta bayar saman RM100 dikenal pasti

Sebelum ini tular sebuah video di media sosial sejak Ahad berhubung isu pembayaran saman yang dikenakan terhadap seorang pemandu warga asing.
Sebelum ini tular sebuah video di media sosial sejak Ahad berhubung isu pembayaran saman yang dikenakan terhadap seorang pemandu warga asing.
A
A
A

IPOH - Polis telah mengenal pasti anggotanya yang terbabit dalam kejadian tular apabila meminta wang daripada pelancong pasangan warga United Kingdom (UK) yang juga pempengaruh media sosial YouTube bagi menyelesaikan saman kesalahan trafik.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang mengesahkan perkara itu berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan media tidak lama lagi.

Dalam masa sama, beliau turut mengakui pasangan berkenaan sudah tampil memberikan kerjasama dan berhubung dengan polis dengan maklumat lanjut mengenainya akan dikemukakan pihaknya menerusi siaran media dalam waktu terdekat.

"Sudah (kenalpasti), nanti saya berikan siaran media," katanya ringkas sewaktu dihubungi pagi ini.

Mohd Yusri ditanya pengesahan apabila pasangan pelancong dari UK yang dikenali sebagai ‘UK Van Lifers’ itu memuat naik hantaran di laman sosial 'X', malam tadi bahawa mereka sudah berhubung dengan polis Malaysia dan sedia bantu berikan kerjasama terhadap siasatan yang dijalankan.

Pagi Isnin, Mohd Yusri berkata Polis Perak sedang menunggu arahan Bukit Aman bagi siasatan lanjut kes itu dengan ia sudah dirujuk kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, selain menyatakan bahawa identiti anggota polis terbabit sedang dikenal pasti.

Ia termasuk keperluan bagi menentukan terlebih dahulu di kawasan mana sebenarnya kejadian itu berlaku sama ada dalam kawasan negeri Perak

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, media melaporkan Polis Bukit Aman sedang menyiasat video tular yang memaparkan seorang polis trafik didakwa mengambil RM100 daripada dua pelancong asing dengan alasan menjelaskan saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju.

Terdahulu, menerusi video berdurasi 50 saat yang tersebar di platform X itu, pasangan pelancong dari United Kingdom tersebut disaman oleh polis trafik kerana didakwa memandu melebihi had laju.

Apabila ditanya apa yang perlu dilakukan mereka, polis berkenaan memberitahu mereka boleh menjelaskan saman RM300 di balai polis berdekatan atau membayar RM100 kepadanya di lokasi itu. - Awani