[VIDEO] 1MDB: 'Wang derma' RM2.6 bilion tak dipulangkan, masuk ke akaun Tanore

A
A
A

KUALA LUMPUR - Wang berjumlah RM2.6 bilion yang diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kononnya 'derma' daripada Arab Saudi tidak dipulangkan kepada 'pendermanya', sebaliknya dimasukkan ke akaun Tanore Finance Corporation (Tanore).

Itu yang dimaklumkan Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin yang juga pegawai penyiasat kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.

Ujar beliau, wang berkenaan telah dikembalikan semula ke akaun Tanore pada Ogos 2013.

Saksi pendakwaan ke-49 itu yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada sesi pemeriksaaan utama berkata, pada 2014, Najib telah menerima sejumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun Am Private Banking miliknya daripada akaun syarikat Blackrock Commodities Global Limited dan juga Vista Equity International Partners.

Nur Aida turut memaklumkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa sepanjang pemeriksaan dan siasatan dijalankan, pasukan penyiasat tidak menemui sebarang dokumen kepada kerajaan Arab Saudi atau Raja Abdullah yang menunjukkan tanda penghargaan atau terima kasih atas derma yang diberikan.

Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah). Foto Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah). Foto Bernama

Selain dua akaun berkenaan, terdapat kemasukan wang daripada dua lagi akaun syarikat iaitu Tanore dan Blackstone Real Estate.

Keempat-empat akaun syarikat ini adalah milik individu bernama Tan Kim Loong dan tidak mempunyai sebarang pertalian dengan kerajaan Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

Menurut saksi itu juga, pada 2011 hingga 2014, wang yang diterima Najib juga bukanlah daripada Raja Abdullah atau kerajaan Arab Saudi, sebaliknya ia berpunca daripada sumber dana 1MDB dan tiada sebarang dokumen atau keterangan yang boleh megesahkan wang tersebut adalah wang derma.

Terlebih dahulu, mahkamah telah diperdengarkan dengan rakaman audio perbualan Najib serta beberapa individu antaranya Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Tan Sri Syukri Mohd Salleh, Datuk Sri Azeez Rahim, Putra Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, Ketua Eksekutif Mubadala Development Company (MDC), Khaldoon Al-Mubarak dan bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin.