Guru mengaku salah sembunyi harta hasil penipuan

Haslina (bertudung hitam) ketika di bawa keluar dari Mahkamah Majisret Ayer Keroh di sini, hari ini, atas pertuduhan menyembunyikan dan mengalihkan harta melalui akaun bank.
Haslina (bertudung hitam) ketika di bawa keluar dari Mahkamah Majisret Ayer Keroh di sini, hari ini, atas pertuduhan menyembunyikan dan mengalihkan harta melalui akaun bank.
A
A
A

MELAKA TENGAH - "Kita tidak boleh mudah percayakan orang kerana ada sahaja cara orang hendak menipu kita. Jadi cikgu, saya juga mengingatkan diri saya sendiri, kita kena ambil pengajaran dari apa yang berlaku.

"Saya juga pernah dihubungi individu yang mendakwa dari Mahkamah Putrajaya sedangkan itu hari Ahad," kata Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh ketika prosiding perbicaraan seorang guru, Haslina Mohd Dewa, 48, di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini.

Haslina mengaku bersalah atas pertuduhan menyembunyikan dan mengalihkan harta melalui akaun bank pada Julai dan Ogos tahun lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pada 17 hingga 2 Ogos 2019 sekitar jam 11.12 pagi hingga 4.30 petang di Hospital Melaka didakwa secara tidak jujur menyembunyikan dan mengalihkan harta melalui akaun Hong Leong Bank milik sendiri iaitu wang hasil penipuan tipu urusan jual beli sebuah kereta daripada P Subahtra berjumlah RM23,200.

Tertuduh yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman memohon hukuman yang setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Tertuduh yang diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh memohon hukuman diringankan dengan mengambil kira telah 22 tahun berkhidmat sebagai pendidik dan telah insaf serta malu kerana kes itu diketahui rakan sekerja yang lain.

Mohamad Izwan kemudiannya memerintahkan hukuman denda RM5,000 dan 12 bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Artikel Berkaitan: