Pengampunan Najib: Cetus bibit keretakan dalam Kerajaan Perpaduan - Penganalisis

Keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi impak besar terhadap gabungan Kerajaan Perpaduan. (Gambar kecil: Ahmad Zaharuddin Sani)
Keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi impak besar terhadap gabungan Kerajaan Perpaduan. (Gambar kecil: Ahmad Zaharuddin Sani)
A
A
A

ALOR SETAR - Keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi impak besar terhadap gabungan Kerajaan Perpaduan.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, ia mempunyai pro dan kontra terhadap politik negara khususnya kepada gabungan parti politik bawah kerajaan sedia ada.

Menurutnya, sudah berlaku bibit keretakan antara Pakatan Harapan (PH) dan UMNO apabila pemimpinnya saling mengkritik keputusan tribunal pengampunan biarpun cuba disembunyikan.

“Bagi PH, ia sesuatu yang tidak diduga kerana antara perjuangan mereka mencari punca kepada kes 1MDB yang membawa kerugian besar kepada negara. Apabila mahkamah putuskan sebegitu, ia bercanggah dengan matlamat asal mereka.

“Pada masa sama, hubungan dalam Kerajaan Perpaduan harus diambil kira untuk kestabilan politik. Pemimpin UMNO dilihat serang pemimpin PH dan sebaliknya, ini cabaran besar dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sejauh mana mereka boleh bersatu bawah naungan sama jika isu seperti ini agak goyah untuk dicernakan terutama kepada akar umbi parti masing-masing,” katanya di sini pada Selasa.

Ahmad Zaharuddin Sani yang merupakan Konsultan Kanan, Global Asia Consulting tegaskan, akhirnya kesalahan tersebut diletakkan kepada PH.

“Ini kerana penjelasan oleh kepimpinan PH agak longgar dan gagal berikan kefahaman sewajarnya kepada akar umbi sehingga ada yang sudah hilang kepercayaan terhadap agenda reformasi PH.

Artikel Berkaitan:

“UMNO pula ketika ini perlukan lonjakan memandangkan suasana yang tak begitu memihak kepada parti itu, mereka harapkan Najib berikan kekuatan baru kepada parti dengan bebas sepenuhnya,” ujarnya.

Menurutnya, tindakan UMNO mengumpul sejuta tandatangan bagi rayuan mendapatkan pengampunan penuh untuk bekas Presiden UMNO itu hanya akan mengeruhkan keadaan.

“Mereka yang sanggah keputusan mahkamah dianggap menentang atau tak hormati institusi Raja, bagaimana dengan tindakan UMNO itu kerana objektifnya sama. Adakah tindakan UMNO itu tidak dianggap sebagai tidak hormati keputusan Yang di-Pertuan Agong?,” soalnya.

Menurutnya lagi, ada mendakwa keputusan tersebut merupakan kemenangan buat UMNO, namun ia lebih kepada budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong terhadap jasa Najib kepada negara.

“Harus diingat pengurangan bukan bermaksud pengampunan. Sekiranya Najib bebas sekalipun, beliau tetap bekas penjenayah. Pengurangan hukuman sekadar atas kertas tetapi status kekal.

“Kes Najib yang lain masih berlangsung, pengurangan kes ini tidak beri kesan terhadap kes beliau yang lain,” ujarnya.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu turut menempelak tindakan segelintir pihak yang mohon penjelasan diberikan berhubung pengurangan hukuman Najib.

“Tribunal Lembaga Pengampunan tidak perlu berikan sebarang penjelasan kepada mana-mana pihak kerana ia budi bicara mereka dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

“Jangan curah minyak dalam api lagi, apa diputuskan sudah pasti ada pertimbangan sewajarnya dan timbang tara tanpa perlu diberikan penjelasan,” ujarnya.

Dalam pada itu, tegasnya, peranan PH dalam kes berkenaan jangan dilupakan kerana ia turut menyumbang secara tidak langsung kepada keputusan yang dibuat.

“Sebelum ini, ramai persoal kenapa lantik Dr Zaliha Mustafa sebagai Menteri Wilayah Persekutuan sedangkan sebelum ini dikatakan tiada keperluan.

“Secara tidak langsung menunjukkan Perdana Menteri cuba selesaikan kes pengampunan Najib kerana terletak bawah bidang kuasa Wilayah Persekutuan. Jika tiada menteri dilantik, lembaga pengampunan tidak dapat bersidang.” katanya.

Menurutnya lagi, UMNO sepatutnya menghargai peranan Anwar yang memudahcarakan proses permohonan Najib tersebut.

“Secara teknikalnya, jika tiada lantikan Menteri Wilayah Persekutuan tiadalah penyelesaian kes pengampunan tersebut.

“Namun kes ini diharap tidak menjadi rujukan untuk ahli politik berterusan melakukan kesalahan untuk mendapatkan rayuan pengampunan.

“Kelak timbul persepsi, ahli-ahli politik akan diberikan kelebihan ini dan sejauh mana lembaga pengampunan akan bicarakan kes melibatkan orang biasa sama ada boleh dilaksanakan tanpa sebarang kos,” ujarnya.

Ahmad Zaharuddin Sani berharap titik noktah harus diletakkan untuk kes seumpama agar tidak membebankan negara.

“Bimbang kelak orang politik ada konotasi bahawa bila buat salah boleh bawa ke tribunal untuk dapatkan keistimewaan, konotasi ini perlu dihapuskan bagi mengelak tindakan orang politik dibolehkan kerana beri kesan besar kepada negara,” jelasnya.