[VIDEO] Gangguan bekalan air jejas pelancongan Pulau Pangkor

A
A
A

LUMUT - Gangguan bekalan air selama enam hari berturut-turut menjejaskan kehidupan penduduk dan industri pelancongan di beberapa kawasan di Pulau Pangkor di sini.

Seorang penduduk Kampung Teluk Dalam, Pulau Pangkor menggunakan troli untuk mengangkut bekalan air yang diperoleh daripada lori tangki LAP.
Seorang penduduk Kampung Teluk Dalam, Pulau Pangkor menggunakan troli untuk mengangkut bekalan air yang diperoleh daripada lori tangki LAP.

Masalah penduduk dan peniaga di Kampung Teluk Dalam dan Teluk Nipah itu kian meruncing apabila mereka mendakwa bekalan air yang dihantar lori Lembaga Air Perak (LAP) tidak mencukupi untuk kegunaan harian.

Besen dan tong diletakkan di hadapan rumah untuk mengisi bekalan air dari lori tangki LAP.
Besen dan tong diletakkan di hadapan rumah untuk mengisi bekalan air dari lori tangki LAP.

Tinjauan mendapati penduduk terpaksa meletakkan baldi, besen serta tong di hadapan rumah bagi mendapatkan air, malah berlaku pertelingkahan kerana berebut air dari lori tangki LAP.

Penduduk, Zainal Abidin Ismail, 54, berkata, mereka kini mengharapkan sepenuhnya bekalan daripada pihak LAP bagi memenuhi keperluan harian sejak Khamis lalu.

Zainal Abidin
Zainal Abidin

Menurutnya, mereka turut bersaing dengan pengusaha hotel berikutan penggunaan tinggi pada musim cuti sekolah hingga penghantaran ke kawasan penempatan diabaikan.

Artikel Berkaitan:

"Difahamkan sebanyak empat lori tangki akan digunakan untuk menghantar bekalan air ke kawasan penduduk tetapi yang datang hanya satu. Mana cukup untuk penduduk di sini.

"Apabila penghantaran bekalan air seperti mengutamakan pengusaha hotel dan inap desa, kami dapat apa yang tinggal jadi terpaksa menunggu lebih lama.

"Penggunaan air penting untuk makan, minum selain kebersihan diri sebelum bersolat setiap hari," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Zainal Abidin yang juga nelayan berkata, penduduk dimaklumkan berlaku kebocoran pada paip utama rentas dasar laut namun, dia mengharapkan penyelesaian jangka pendek sementara ia dibaiki.

Pengusaha hotel, Syafiq Rozman berkata, syarikatnya mengalami kerugian sekitar RM50,000 dalam tempoh seminggu apabila terpaksa membatalkan tempahan pelanggan selain membayar pampasan kepada penyedia aplikasi perhotelan.

Syafiq menunjukkan gangguan bekalan air yang menjejaskan pengoperasian hotelnya di Teluk Dalam, Pulau Pangkor.
Syafiq menunjukkan gangguan bekalan air yang menjejaskan pengoperasian hotelnya di Teluk Dalam, Pulau Pangkor.

"Sumber utama ekonomi Pulau Pangkor adalah pelancongan, sepatutnya dalam tempoh cuti persekolahan dan perayaan inilah kami dapat meraih rezeki lebih terutama buat penjaja, pengusaha teksi dan sukan air.

"Malangnya disebabkan isu air yang kritikal, ramai pelancong terpaksa membatalkan tempahan. Kita sebagai pusat tumpuan pelancongan agak memalukan apabila tidak dapat menerima kehadiran pelancong ke pulau ini, selain mengatasi isu ini," katanya.

Bagi pengusaha inap desa, Shuhaimi Omar, 46, dia menyangkal dakwaan LAP bahawa pihak mereka tidak menyediakan tangki simpanan untuk menampung bekalan di waktu puncak.

Shuhaimi
Shuhaimi

"Saya mempunyai tangki yang boleh membekalkan air kepada pelanggan dalam tempoh dua hari tetapi disebabkan isu ini sangat kritikal kerana ini pertama kali gangguan air terhenti dekat seminggu.

"Adakah ini kenangan Tahun Melawat Perak yang perlu ditunjukkan kepada pengunjung? Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Ahli Parlimen Lumut dan Menteri Besar Perak perlu cakna dengan masalah rakyat ini," katanya.

Bagi pengunjung dari Johor, Zayani Atiqah Noraini, 32, kegembiraan bercuti bersama keluarga buat pertama kali di pulau bebas cukai itu terjejas apabila berhadapan dengan isu air ketika menginap di sebuah hotel di Teluk Dalam.

Zayani Atiqah
Zayani Atiqah

"Agak sukar sebenarnya untuk catu penggunaan air baik kegunaan mandi dan solat. Kalau mandi laut, kami akan bagi kering baru balik ke bilik hotel untuk bilas.

"Aktiviti yang disediakan di Pulau Pangkor ini sangat menyeronokkan dengan keramahan penduduk dan makanan sedap tetapi kami tiba pada waktu kawasan ini ada isu air, sedikit kecewalah," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail ketika ditemui memaklumkan pihaknya akan memohon lori tangki air tambahan bagi menampung keperluan penduduk sehingga bekalan kembali pulih.

Nordin Ahmad (kanan) mendengar keluhan daripada penduduk yang terjejas berikutan gangguan bekalan air.
Nordin Ahmad (kanan) mendengar keluhan daripada penduduk yang terjejas berikutan gangguan bekalan air.