Ringgit terus catat kenaikan tiga hari berturut-turut

Ringgit terus mencatatkan kenaikan untuk hari ketiga berturut-turut dan melonjak daripada paras terendah dalam tempoh 25 tahun berbanding dolar AS. - Gambar hiasan
Ringgit terus mencatatkan kenaikan untuk hari ketiga berturut-turut dan melonjak daripada paras terendah dalam tempoh 25 tahun berbanding dolar AS. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT terus mencatatkan kenaikan untuk hari ketiga berturut-turut dan melonjak daripada paras terendah dalam tempoh 25 tahun berbanding dolar AS berikutan data senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) yang rendah mendorong harapan bahawa pengurangan kadar faedah AS akan dilaksanakan lebih awal daripada jangkaan.

Mata wang tempatan telah merosot pada paras terendah dalam tempoh 25 tahun dalam beberapa minggu ini.

NFP, mengukur jumlah pekerjaan yang diwujudkan di AS, meningkat pada kadar yang perlahan kepada 150,000 pada Oktober manakala kadar pengangguran naik sehingga 3.9 peratus selepas kekal pada 3.8 peratus pada dua suku tahun yang lepas, menjejaskan sentimen untuk dolar AS.

Pada 6 petang, ringgit melonjak kepada 4.6340/6400 berbanding dolar AS daripada 4.7265/7320 pada Jumaat lepas.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit mencatatkan kenaikan sebanyak 2.28 peratus pada asas bulan sehingga kini, mata wang kedua mencatatkan prestasi terbaik selepas won Korea Selatan.

"USD-MYR kini berada pada RM4.6570, yang telah melepasi paras sokongan serta-merta pada RM4.6611,” katanya kepada Bernama.

Melangkah ke hadapan, Afzanizam berkata beliau percaya skop untuk kenaikan seterusnya akan bergantung kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS yang akan datang yang dijadualkan pada pertengahan Disember.

"Walaupun Kadar Dana Fed dijangka kekal tidak berubah, unjuran suku tahunan terkini akan diteliti oleh pasaran.

Artikel Berkaitan:

"Unjuran September menunjukkan Rizab Persekutuan AS dijangka mengurangkan kadar sebanyak 25 hingga 50 mata asas pada tahun depan,” katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0959/1002 daripada 3.1445/1484 pada Jumaat lepas, mengukuh berbanding euro kepada 4.9806/9871 daripada 5.0318/0377 dan naik berbanding pound kepada 5.7462/7536 daripada 5.7734/7801.

Ringgit turut lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4341/4388 daripada 3.4713/4756 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 298.1/298.7 daripada 300.5/300.9 pada Jumaat lepas.

Ia melonjak berbanding baht Thailand kepada 13.0521/0741 daripada 13.2332/2553 sebelum ini dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.29/8.30 daripada 8.42/8.44 pada Jumaat lepas. - Bernama