Pencapaian enam tahun berturut-turut

Felda Lok Heng Timur raih anugerah ladang terbaik

A
A
A

Felda Lok Heng Timur di Kota Tinggi, Johor.
Felda Lok Heng Timur di Kota Tinggi, Johor.

KOTA TINGGI - Felda Lok Heng Timur di sini terus unggul apabila meraih anugerah Pengurusan Gred Agronomi Ladang Terbaik dengan pencapaian gred A enam tahun berturut-turut sejak tahun 2017.

Pencapaian yang membanggakan itu dikongsi oleh Pengurusnya, Mohd Norazlan Shah Man yang menyifatkan resipi kejayaan berkenaan adalah hasil daripada pemahaman yang mendalam terhadap Amalan Pertanian Baik (GAP) dalam kalangan 469 para peneroka di kawasan tanah rancangan tersebut.

“Antara elemen yang diterapkan di Felda Lok Heng Timur adalah kepentingan penghasilan, penuaian dan penghantaran buah tandan segar (BTS) yang masak dan berkualiti bagi mendapatkan harga yang tinggi tanpa sebarang penalti dikenakan oleh pihak kilang.

“Selain itu, kerjasama antara para peneroka dengan pasukan operasi dan pengurusan terutamanya pemantau serta petugas amat penting termasuk kawalan di ladang supaya dapat mencapai sasaran Kadar Perahan Digred (KPG) sama dengan Kadar Perahan Asas (KPA) kilang seperti yang disasarkan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Isnin.

Mohd Norazlan menunjukkan anugerah Pengurusan Gred Agronomi Ladang Terbaik yang dimenangi Felda Lok Heng Timur selama enam tahun berturut-turut.
Mohd Norazlan menunjukkan anugerah Pengurusan Gred Agronomi Ladang Terbaik yang dimenangi Felda Lok Heng Timur selama enam tahun berturut-turut.

Tambah Mohd Norazlan Shah, inisiatif ini memberi impak kepada pendapatan para peneroka di mana turut mencatatkan peningkatan pendapatan bulanan yang signifikan apabila kualiti BTS yang dihantar ke kilang menepati standard yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Malah, peningkatan itu katanya sekali gus mencapai KPA 21.0 peratus seperti mana yang ditetapkan di Kilang Sawit Lok Heng.

“Sekiranya 100 peratus BTS yang masak dan berkualiti dapat dihantar, para peneroka akan dapat harga (jualan) maksimum dan secara tidak langsung akan memberi impak besar kepada pendapatan mereka,” jelasnya yang turut menyasarkan 23 blok di kawasan Felda berkenaan ke arah memperkasa 100 peratus penghantaran BTS masak dan berkualiti.

Justeru katanya, anugerah Pengurusan Gred Agronomi Ladang Terbaik yang diperoleh itu menjadi penanda aras bagi pengurusan di Felda Lok Heng Timur bersama warganya untuk berusaha lebih gigih lagi agar sasaran tercapai.

Sa’adan (tengah) bersama-sama Sarani (kanan) dan Mohd Razib (kiri) menunjukkan isyarat bagus sambil memperlihatkan buah kelapa sawit berkualiti yang dihasilkan di Felda Lok Heng Timur, Kota Tinggi, Johor pada Isnin.
Sa’adan (tengah) bersama-sama Sarani (kanan) dan Mohd Razib (kiri) menunjukkan isyarat bagus sambil memperlihatkan buah kelapa sawit berkualiti yang dihasilkan di Felda Lok Heng Timur, Kota Tinggi, Johor pada Isnin.

Pencapaian KPG dan KPA ini memerlukan usaha yang berterusan dan bermula dari proses penjagaan pokok sawit sehinggalah peringkat penuaian dilaksanakan.

“Fokus kita sudah tentu hendak mencapai tahap maksimum dari sudut pengeluaran BTS berkualiti tinggi, tiada BTS muda seterusnya mendapat KPA dan KPG yang terbaik,” ujarnya.

Hasil yang terbaik

Bagi Ketua Peneroka Felda Lok Heng Timur, Sa’adan Sairi, beliau menyifatkan pencapaian tanah rancangan berkenaan yang dibuka pada tahun 1976 itu diperoleh berkat daripada pemuafakatan di antara para peneroka dan pihak pengurusan.

SA’ADAN
SA’ADAN

Menurutnya, pihak pengurusan ladang begitu fokus untuk meningkatkan hasil para peneroka dan sentiasa turun padang bagi memastikan GAP dilaksanakan dengan berkesan dan seterusnya memaksimumkan KPG yang diterima peneroka.

“Peneroka dilantik sebagai pemantau bagi kerja-kerja di ladang. Jika ada buah sawit yang mengkal atau muda yang dituai, kami pemantau dan membuat teguran serta saranan kerana ia akan mengakibatkan penalti semasa proses penggredan di kilang dan seterusnya menurunkan KPG.

“Semua peneroka perlu patuhi standard yang ditetapkan. Selain itu, kedudukan Felda Lok Heng Timur ini dekat dengan kilang sawit turut menyumbang kepada peningkatan kualiti dan hasil kerana ia dapat dihantar dengan segera untuk diproses,” katanya.

Sebagai Ketua Peneroka, Sa’adan turut memaklumkan pihaknya juga sering mengadakan perbincangan bagi memastikan hasil di Felda Lok Heng Timur dapat ditingkatkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Ladang Lestari (JPLL) dan Mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR).

SARANI
SARANI

Pendapat yang sama turut dilontarkan seorang Ketua Blok Felda Lok Heng Timur, Sarani Ahmad, 66, yang mana beliau menyatakan kerjasama dan persefahaman di antara pemantau dengan pekerja penting untuk mendapatkan hasil KPG yang terbaik.

Sementara itu, generasi kedua Felda Lok Heng Timur, Mohd Razib Yasin, 39, berkata, tugasnya sebagai anggota pemeriksa kualiti penting untuk memastikan BTS yang dituai dan dihantar adalah berkualiti dan mampu mencapai KPG yang optimum.

MOHD RAZIB
MOHD RAZIB

Malah, penyertaan golongan belia dalam sektor ini dilihat amat memberangsangkan kerana dapat memberi pendapatan yang baik kepada golongan ini. Melalui amalan GAP yang dilaksanakan, ia meningkatkan hasil peneroka sekali gus membantu golongan belia yang bekerja di ladang mendapat manfaat.

Ini kerana katanya, melalui GAP, ia melibatkan penggunaan teknologi terkini di samping pelaksanaan sistem perladangan yang lebih baik daripada sebelum ini.