7 enakmen undang-undang syariah Kedah sama dengan Kelantan - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Terdapat tujuh enakmen dalam undang-undang syariah Kedah mempunyai persamaan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan, Jumaat lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri akan mengkaji kesan pembatalan pengisytiharan 16 kesalahan syariah terbabit terhadap undang-undang syariah negeri ini.

Menurutnya, ia harus dirujuk kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil oleh kerajaan negeri.

"Semakan yang dibuat mendapati ada tujuh enakmen yang sama dengan Kelantan. Kita akan kaji kesan perundangan bersabit keputusan Mahkamah Persekutuan itu. Ia akan dilakukan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Muhammad Sanusi berkata, kesan ke atas pembatalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 perlu diteliti secara terperinci bagi memastikan ia selaras undang-undang syariah Kedah.

"Kita akan ambil tindakan yang wajar untuk perkukuhkan undang-undang syariah di negeri ini. Apa pun perlu rujuk Tuanku Sultan untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan dalam satu keputusan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!