Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan ikut syarak, al-Quran

Mohd Asri
Mohd Asri
A
A
A

KOTA BHARU - Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud menegaskan kesalahan jenayah di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan telah digubal berasaskan hukum syarak dan sumber daripada al-Quran, hadis, ijmak serta qiyas.

Beliau berkata, penggubalan enakmen itu turut melibatkan pandangan jabatan agama, mufti, pendakwa raya, tokoh-tokoh ulama, para peguam dan pengamal perundangan negeri.

"Proses penggubalan enakmen ini bermula pada tahun 2014 dan siap sepenuhnya pada 2019. Kemudiannya melibatkan kelulusan kuasa legislatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada tahun yang sama.

"Ia kemudiannya disiarkan dalam warta melalui perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada 31 Disember 2020 dan berkuat kuasa pada 1 November 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, bagaimanapun, pertikaian yang berlaku hari ini ialah kuasa DUN untuk menggubal undang-undang Islam berkaitan jenayah seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan adalah kabur dan tidak jelas.

Ujarnya, Jadual Kesembilan Perlembagaan, Senarai Kedua tidak memperincikan satu persatu perkara tersebut dan mengundang polemik berpanjangan sehinggalah kesannya terdedah tafsiran secara perundangan.

"Oleh kerana Islam berada di bawah bidang kuasa negeri, maka perundangan Islam berkaitan Hukum Syara' diletakkan di bawah Senarai Negeri melalui Kuasa Legislatif DUN.

"Dengan mengambil punca kuasa perkara agama melibatkan umat Islam di bawah kuasa Raja sebagai ketua agama, Enakmen Kanun Jenayah Islam (I) 2019 Negeri Kelantan digubal mengikut kaedah bidang kuasa negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu memberitahu, penggubalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan telah melalui proses perundangan mengikut bidang kuasa yang diberikan dan diperuntukkan Perlembagaan dengan mengambil rujukan kes di bawah hukum syarak iaitu takzir.

Tambah beliau, pihak yang mentafsirkan hukuman takzir bukan hukum ALLAH adalah tidak tepat kerana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan dibuat mengambil kira fikah jenayah melalui kaedah hukuman di bawah bidang kuasa negeri yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

"Dengan kata lain kesalahan jenayah dalam enakmen ini adalah menepati hukum syarak atas bidang kesalahan takzir, kuantum hukuman yang terhad mengikut bidang kuasa negeri dan tertakluk kepada seluruh umat Islam di negeri Kelantan mengikut pemakaian kuasanya sahaja.

"Adalah dangkal bagi mereka yang mempertikai dan meletakkan kesalahan kepada kerajaan negeri setelah 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan berjaya dibatalkan oleh mahkamah seolah enggan mengiktiraf usaha kami memartabat hukum syariah.

"Ini kerana kewujudan dua sistem perundangan dalam negara atau 'coexistence' nya bertujuan menyempurnakan satu dengan lain, completing each other bukan competing each other (bersaing antara satu dengan lain)," katanya.

Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lepas dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai sembilan anggota, selepas membenarkan permohonan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman, bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.