[VIDEO] KSN sebak kenang jasa penjawat awam

A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali tidak mampu menahan sebak apabila menyentuh mengenai tanggapan umum terhadap penjawat awam dalam ucapannya pada Majlis Amanat KSN Tahun 2024.

Mohd Zuki dilihat beberapa kali berhenti seketika mengelap air mata sebelum meneruskan ucapan sambil meminta maaf dengan situasi tersebut.

Dalam ucapannya yang turut disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Perkhidmatan Awam, beliau meminta agar penjawat awam tidak lemah dengan sebarang tanggapan negatif.

Mohd Zuki tidak mampu menahan sebak ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024 pada Selasa.
Mohd Zuki tidak mampu menahan sebak ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024 pada Selasa.

"Penjawat awam sinonim dengan kata-kata hero tidak didendang, buat tidak dikenang dan jika terkurang, maka kita terus dijadikan sasaran.

"Tapi janganlah kita lemah dan longlai dengan tanggapan sebegitu, kerana kita hanya memegang amanah dan akan terus menjalankan kepercayaan itu dengan sebaiknya," katanya.

Mohd Zuki berkata, penjawat awam merupakan benteng negara.

"Penjawat ini sebenarnya entiti yang melindungi kemaslahatan rakyat dan memberi perkhidmatan sebaik mungkin.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai perkhidmatan awam kita menjadi pemelihara kepada kepentingan rakyat yang memberi sepenuh jiwa raganya dan terus menjalankan tugas sebaiknya," ujar beliau dalam keadaan sebak.

Menurutnya, penjawat awam sebenarnya telah mencuba sehabis baik dan akan terus melakukan yang terbaik untuk kebaikan berterusan kepada rakyat.

"Saya ucapkan terima kasih sekali lagi kepada semua penjawat awam yang telah bersama-sama saya," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zuki meminta penjawat awam mempergiatkan promosi perkhidmatan kepada rakyat.

"Dendangkan dan optimumkan sepenuhnya segala sumber dan platform yang kita ada, media sosial, media perdana dan segala jenis media agar sampai kepada rakyat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!