Johor arah PBT batal lesen disewakan pada warga asing

Mohd Jafni (kiri) mewakili kerajaan negeri menerima sumbangan SWM Environment daripada Mohd Norlisam di Kota Iskandar, Iskandar Puteri pada Isnin.
Mohd Jafni (kiri) mewakili kerajaan negeri menerima sumbangan SWM Environment daripada Mohd Norlisam di Kota Iskandar, Iskandar Puteri pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini supaya membatalkan lesen perniagaan yang disewakan kepada warga asing.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menegaskan, ini kerana PBT di Johor tidak pernah mengeluarkan lesen membenarkan warga asing untuk berniaga di negeri ini.

Beliau turut menggesa semua 16 PBT di negeri ini memperkasa operasi melibatkan premis perniagaan yang dikendalikan warga asing.

"Saya juga sudah keluarkan arahan bermula tahun ini, semua PBT perlu menubuhkan pasukan khas untuk turun ke lapangan bagi menyemak perniagaan-perniagaan yang dijalankan warga asing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili kerajaan negeri menerima sumbangan SWM Environment untuk disalurkan kepada 750 keluarga B40 di Kota Iskandar di sini pada Isnin.

Turut hadir, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata, perkara itu perlu dilakukan untuk membela peniaga-peniaga kecil tempatan daripada terus mengalami kekurangan perniagaan kerana terpaksa bersaing dengan warga asing yang kebiasaannya menjual pada harga lebih murah.

Mohd Jafni turut menggesa pengguna untuk memberi sokongan kepada peniaga tempatan dengan membeli barangan dijual mereka dan bukan memilih premis perniagaan warga asing.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain katanya, PBT di negeri ini perlu melakukan kaedah pengezonan khususnya melibatkan premis perniagaan berbentuk hiburan seperti spa, karaoke dan lain-lain.

Beliau menjelaskan, langkah itu dengan mengumpulkan semua premis terbabit di satu kawasan khas supaya beroperasi secara sistematik, mematuhi peraturan dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

"Ini akan memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak terlibat.

"Langkah sedemikian turut disokong polis kerana memudahkan mereka untuk membuat pemantauan dan sebagainya.

"Beberapa tahun lalu di Kulai, kita berdepan satu masalah apabila premis spa beroperasi di kawasan berhampiran taman perumahan dan kampung-kampung, jadi banyak aduan diterima daripada penduduk.

"Kita akan laksana kaedah 'zoning' dengan mengumpulkan premis-premis sedemikian untuk beroperasi di kawasan tertentu.

"Maksudnya premis spa dan karaoke tidak beroperasi secara bersepah di kawasan perumahan, kampung-kampung atau berhampiran sekolah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!