Larangan dirikan khemah: Masih ada yang ingkar arahan

Penguatkuasa MPPD ketika menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di Pantai Cahaya Negeri pada Isnin.
Penguatkuasa MPPD ketika menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di Pantai Cahaya Negeri pada Isnin.
A
A
A

PORT DICKSON - Meskipun notis pemakluman larangan mendirikan khemah di tiga kawasan pantai di sini sudah pun dihebahkan menerusi pelbagai medium, namun masih ada yang ingkar walaupun kain rentang berhubung notis itu turut dipasang di lokasi terbabit.

Tinjauan Sinar Harian pada Isnin di tiga lokasi itu iaitu di Pantai Cahaya Negeri, Pantai Saujana dan Pantai Bagan Pinang mendapati masih ada dalam kalangan pengunjung berbuat demikian namun ada juga yang mematuhi arahan.

Bagaimanapun, masing-masing dilihat akur selepas pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dilakukan oleh penguatkuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Pengunjung yang juga merupakan mahasiswi Universiti Selangor (Unisel), Nur Umayrah Mohd Norman, 19, berkata, dia datang ke Pantai Cahaya Negeri kira-kira jam 11 pagi bersama dua lagi rakannya untuk berkelah.

Nur Umayrah (kanan) bersama dua rakannya datang ke pantai Port Dickson kira-kira jam 11 pagi Isnin.
Nur Umayrah (kanan) bersama dua rakannya datang ke pantai Port Dickson kira-kira jam 11 pagi Isnin.

"Saya baru sahaja mengetahui mengenai larangan tersebut hari ini dan kami pun hanya bentang tikar sahaja untuk ambil angin serta berehat di sini, tambahan pula kain rentang larangan itu hanya belakang kami sahaja," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mohamad Hafiz Zulkainal, 24, datang ke pantai Port Dickson bersama tunangnya, Anis Sofiah Sulaiman, 22.

"Kebiasaannya kami ke Pantai Klebang, Melaka cuma hari ini ubah angin. Pada pandangan saya tidak ada masalah untuk tidak memasang khemah di tiga lokasi yang dinyatakan.

Artikel Berkaitan:

"Kita pun datang nak berehat dan tenangkan fikiran sahaja, kalau nak pasang khemah pengunjung boleh ke kawasan pantai lain di sini," katanya.

Kain rentang mengenai larangan mendirikan khemah. Gambar kecil: Mohamad Hafiz
Kain rentang mengenai larangan mendirikan khemah. Gambar kecil: Mohamad Hafiz

Sinar Harian sebelum ini melaporkan MPPD diarahkan agar menguatkuasakan larangan aktiviti berkhemah di tiga kawasan pantai di Port Dickson selepas ia menimbulkan rungutan dalam kalangan pengunjung.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mana pengunjung hanya dibenarkan menggunakan tikar atau seumpamanya sekiranya beriadah serta berkelah di tiga kawasan pantai berkenaan.

Katanya, Port Dickson selaku lokasi tumpuan pelancongan negara perlu berubah terutamanya dalam memberikan penekanan terhadap faktor kebersihan dan penguatkuasaan undang-undang selain masalah timbul apabila banyak khemah didirikan sehingga mengganggu pelancong lain beriadah di pantai.

Suasana sekitar kawasan pantai tumpuan di Port Dickson.
Suasana sekitar kawasan pantai tumpuan di Port Dickson.

Dalam pada itu, seorang pengunjung dari Selangor yang ingin dikenali sebagai Mohamad Hamzi, 36, berkata, dia dikenakan kompaun susulan memasang khemah di salah satu pantai berkenaan.

"Saya akui kesilapan, namun saya tidak perasan langsung kain rentang berkenaan, mungkin sebab terlalu teruja untuk berkhemah sebab ini pertama kali kami datang ke pantai Port Dickson.

"Saya harap akan ada pengurangan bayaran kompaun sebab kami datang dari jauh untuk beriadah tetapi bertukar mimpi ngeri pula sebab dikenakan kompaun," katanya berseloroh.