[VIDEO] Portfolio enam Exco Negeri Sembilan ditetapkan dalam waktu terdekat - MB
KUALA PILAH - Portfolio enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang baru dilantik akan ditetapkan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, beliau memerlukan sedikit masa untuk meneliti kesesuaian portfolio setiap Exco, memandangkan jumlah Exco yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ketika ini hanya enam orang.
"Buat masa ini, belum ada portfolio yang ditetapkan dan saya mohon sehari dua lagi untuk menetapkan portfolio kerana jumlah Exco yang diperkenankan setakat hari ini ialah enam orang.
"Kita ada banyak portfolio dan mungkin saya terpaksa menggabungkan beberapa portfolio. Ini memerlukan kesesuaian, maknanya portfolio yang mempunyai kaitan antara satu sama lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco di Istana Besar Seri Menanti di sini pada Jumaat.
Ismail berkata, sebaik saja keputusan berkenaan portfolio itu telah dibuat, beliau akan membuat pengumuman mengenainya.
Dalam pada itu, beliau berharap pelantikan enam Exco baharu itu dapat membantu menyelesaikan pelbagai urusan pentadbiran negeri yang tertangguh sejak hampir dua bulan lalu.
"Seperti yang kita semua sedia maklum, sudah hampir dua bulan tiada mesyuarat Exco dan banyak kertas kerja tertangguh, sebahagian besarnya membabitkan kepentingan rakyat.
"Insya-ALLAH, seawal minggu depan saya akan menetapkan mesyuarat Exco pada Selasa dan begitu juga pada Khamis. Mungkin kita akan mengadakan mesyuarat Exco dengan lebih kerap supaya dapat menyelesaikan segera urusan yang tertangguh," katanya.
Berkenaan tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027, Ismail memaklumkan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco akan datang.
Menurutnya, tarikh yang bersesuaian akan dicadangkan sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk mendapatkan perkenan baginda.
Mengulas mengenai ketiadaan wakil wanita dalam barisan Exco, beliau berkata, perkara itu akan dipertimbangkan kemudian.
"Orang lelaki boleh juga buat kerja wanita. Menteri wanita pun ada buat kerja lelaki, kan? Tak apalah, itu kemudianlah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

