Geng pecah kereta di Port Dickson tumpas

Barangan yang dirampas polis daripada geng pecah kereta di Port Dickson.
Barangan yang dirampas polis daripada geng pecah kereta di Port Dickson.
A
A
A

PORT DICKSON - Kegiatan geng pecah kereta di kawasan parkir pantai di daerah ini tumpas dengan tertangkapnya enam individu termasuk dua wanita minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua suspek berusia antara 29 hingga 37 tahun itu ditangkap di Melaka dan Kedah.

"Suspek berjaya ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson pada 6 Februari dari jam 6 petang hingga 7 Februari jam 11.50 malam.

"Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah cermin kereta dan curi barang dalam kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, modus operandi suspek adalah dengan memecahkan cermin serta mengumpil kereta orang awam yang datang ke pantai dengan menggunakan pemutar skru.

Enam individu termasuk dua wanita ditahan dipercayai geng pecah kereta ditahan di Port Dickson minggu lalu.
Enam individu termasuk dua wanita ditahan dipercayai geng pecah kereta ditahan di Port Dickson minggu lalu.

Tambahnya, hasil daripada tangkapan suspek, polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah cermin kereta di kawasan Telok Kemang, Port Dickson dan dua kes di Alor Gajah, Melaka sejak Disember tahun lalu hingga bulan lalu.

"Pemeriksaan mendapati, dua daripada suspek masing-masing mempunyai 19 dan dua rekod jenayah lampau dan kini masih dalam tahanan reman di lokap Balai Polis Port Dickson.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM70,000 melibatkan telefon bimbit, laptop, dokumen peribadi, kamera dan wang tunai," katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak meletakkan barang-barang berharga di dalam kereta semasa meninggalkan kenderaan untuk ke pantai atau pun ke kedai walaupun dalam tempoh singkat.