'Jangan ulang peristiwa lalu' - Tuanku Muhriz bertitah ingatkan Exco Negeri Sembilan

Tuanku Muhriz berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada Jumaat.
Tuanku Muhriz berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada Jumaat.
A
A
A

KUALA PILAH - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah supaya semua pihak menjadikan segala peristiwa dan isu yang tercetus baru-baru ini sebagai pengajaran, khususnya Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Baginda bertitah, semua Exco hendaklah sentiasa memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing serta tidak bertindak melampaui kuasa dan tanggungjawab yang telah ditetapkan.

"Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada wakil-wakil rakyat yang telah terpilih untuk menganggotai Exco pada kali ini.

"Pelantikan ini merupakan satu penghormatan, namun pada masa yang sama membawa tanggungjawab dan amanah yang besar kepada negeri serta rakyat," titah baginda di Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Tuanku Muhriz bertitah, semua Exco perlu memberikan sepenuh perhatian kepada tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Baginda mengingatkan semua Exco untuk mengutamakan kepentingan rakyat, melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesionalisme, serta memastikan setiap keputusan yang dibuat berlandaskan kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat

"Tumpukan sepenuh perhatian kepada portfolio yang diamanahkan dan laksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh komitmen dan kebijaksanaan.

"Beta tidak mahu perkara yang sama berulang sehingga boleh menjejaskan keharmonian, kestabilan dan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri," titahnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!