'Masih terbayang mangsa hanyut depan mata' - Penduduk

Penduduk berada di lokasi mangsa-mangsa terperangkap ketika berkelah di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor. (Gambar kecil: Wahiddin, Ahmad Ridzuan)
Penduduk berada di lokasi mangsa-mangsa terperangkap ketika berkelah di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor. (Gambar kecil: Wahiddin, Ahmad Ridzuan)
A
A
A

TAPAH - Tragedi kepala air yang meragut nyawa empat beranak ketika berkelah di Sungai Kenjur, Rabu lalu meninggalkan kesan buat penduduk Kampung Poh, Bidor dekat sini.

Bagi pesara kerajaan, Wahiddin Bahaudin, 58, dia masih terbayang keadaan mangsa yang panik meminta pertolongan ketika terperangkap di tengah sungai.

Sebagai orang pertama yang menghulurkan bantuan, Wahiddin berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan empat mangsa termasuk dua kanak-kanak ketika itu.

"Saya cuba tebang pokok pisang untuk mereka berpaut, berenang beberapa kali dan terakhir melemparkan getah paip.

"Hanya seorang wanita yang berjaya diselamatkan manakala seorang lagi yang pegang dua kanak-kanak jatuh terpusing ditolak air.

"Sampai sekarang kalau hendak tidur masih terbayang-bayang lagi kejadian itu. Memang rasa ralat sangat tidak dapat selamatkan mereka disebabkan kudrat yang tidak seberapa," katanya sebak ketika ditemui pada Ahad.

Wahiddin yang juga anak jati kampung itu memaklumkan fenomena kepala air sering berlaku ketika hujan lebat.

Artikel Berkaitan:

Wahiddin (kiri) bersama penduduk menunjukkan lokasi tragedi kepala air yang meragut empat nyawa, Rabu lalu.
Wahiddin (kiri) bersama penduduk menunjukkan lokasi tragedi kepala air yang meragut empat nyawa, Rabu lalu.

"Sungai ini sering dikunjungi kerana kejernihan airnya tambahan tidaklah terlalu dalam.

"Kebiasaannya kalau ada orang mandi dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, saya akan tegur minta berwaspada kepala air, tetapi pada hari itu saya tidak nampak kerana mereka berteduh di bawah jambatan," katanya.

Media melaporkan dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, Aszura Bani, 37 bersama anaknya, Hanum Marissa Azam, 2; Hafif Muhayat Azam, 4, dan Hanna Mikayla Azam, 7, maut ketika berkelah di situ.

Kakak Aszura, Aslinda Bani, 38, anak lelakinya, Muhammad Adam Mukhris Rozi, 11, dan pengasuh warga Indonesia terselamat.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ahmad Ridzuan Mohd Azmi, 42, menyarankan pihak berkaitan segera memasang papan tanda atau siren amaran seperti yang disarankan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

"Tragedi ini pertama kali berlaku sepanjang membesar di kampung ini. Mungkin orang luar tidak tahu (kepala air) tambahan cuaca hujan sekarang tidak menentu.

"Difahamkan jawatankuasa penduduk ada hantar permohonan jadi sekiranya disegerakan sekurang-kurangnya ia dapat membantu mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

Kerajaan Perak sebelum ini meminta Jabatan Perhutanan negeri memasang siren amaran di kawasan air terjun bagi memberi amaran awal jika berlaku fenomena kepala air.