'Adik minta saya cari orang tolong' - Kakak mangsa

Aslinda ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor di sini pada Khamis. Laporan Sinar Harian
Aslinda ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor di sini pada Khamis. Laporan Sinar Harian
A
A
A

BIDOR - Tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh di sini pada Rabu yang mengorbankan empat sekeluarga meninggalkan kesan mendalam buat mangsa terselamat.

Bagi Aslinda Bani, 38, kejadian menyayat hati yang menimpa adiknya, Aszura Bani, 37, dan tiga orang anak saudaranya, Hanum Marissa Azam, 2; Hafif Muhayat Azam, 4, dan Hanna Mikayla Azam, 7, tidak akan dilupakan.

Menurutnya, ketika kepala air itu berlaku, Aszura sedang berdiri di tengah sungai memegang dua orang anaknya sambil menjerit meminta pertolongan.

"Dia jerit pada saya supaya pergi cari bantuan daripada orang lain untuk selamatkan dia dan anak-anak.

"Lepas saya datang balik ke tempat itu, air dah tinggi, mereka semua dah hilang dibawa arus sungai," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor di sini pada Khamis.

Aslinda yang turut dihanyutkan air sempat berpaut pada batu sebelum dibantu seorang warga emas yang merupakan penduduk setempat.

Sementara itu, dia menjelaskan sebelum kejadian tersebut mereka baharu sahaja membersihkan kedai milik Aszura di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah.

Katanya, mereka pulang ke rumah menukar pakaian sebelum mandi di sungai terbabit sebelum berlaku tragedi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang pada Rabu itu, enam sekeluarga bersama seorang pengasuh yang sedang menjalankan aktiviti berkelah di kawasan sungai terperangkap dalam kepala air.

Empat daripada mangsa iaitu seorang wanita bersama tiga anaknya hilang dihanyutkan arus deras sementara tiga lagi terselamat.

Jasad Aszura ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi perkelahan oleh penduduk kampung sekitar jam 4.30 petang manakala anak lelakinya, Hafif Muhayat dijumpai pada 9.50 malam.

Sementara itu, dua lagi mangsa iaitu Hanum Marissa dan Hanna Mikayla ditemui pada pagi Khamis.

Kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun itu ditemui hanyut sejauh 3 km dari tempat kejadian manakala kakaknya dijumpai 600 meter dari lokasi mangsa dipercayai hilang.