Tragedi kepala air: Dua mangsa terakhir ditemui

Pasukan penyelamat menemui mangsa terakhir tragedi kepala air yang berlaku di Kampung Poh di sini temui pagi Khamis.
Pasukan penyelamat menemui mangsa terakhir tragedi kepala air yang berlaku di Kampung Poh di sini temui pagi Khamis.
A
A
A

BIDOR - [DIKEMAS KINI] Dua kanak-kanak yang merupakan mangsa terakhir lemas akibat tragedi kepala air di Kampung Poh di sini temui pagi Khamis.

Mangsa, Hanna Mikayla Azam, 7, dan adik perempuannya, Hanum Marissa, 2, masing-masing ditemui oleh pasukan penyelamat.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, mangsa pertama merupakan seorang bayi perempuan berusia 2 tahun ditemui pada jam 8.55 pagi manakala mangsa kedua dijumpai pada jam 9.05 pagi.

"Operasi mencari dan menyelamat telah bermula sejak semalam dan kurang dari tempoh 24 jam pada pagi ini pasukan menyelamat berjaya menemui mangsa ketiga dan keempat.

"Mangsa kanak-kanak berusia 2 tahun telah ditemui pada jarak 3 km daripada tempat kejadian dan selang beberapa minit kemudian pasukan penyelamat telah berjaya menemui satu lagi mangsa satu kanak-kanak perempuan berumur 7 tahun pada jarak 600 meter dari lokasi kejadian," katanya kepada pemberita di Pusat Kawalan Tempat Kejadian pada Khamis.

Mohd Naim berkata, susulan penemuan mangsa terakhir itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan dan pusat kawalan tempat kejadian juga ditutup.

Bagaimanapun tempat kejadian ditutup sementara kepada orang awam sehingga siasatan selesai dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon berkata, operasi mencari dan menyelamat mengalami kesukaran disebabkan jumlah air yang banyak dan deras.

Artikel Berkaitan:

"Semasa kejadian mereka berada di tengah-tengah sungai dan tak sempat nak menyelamatkan diri dan dihanyutkan arus deras.

"Kebanyakan mangsa merupakan wanita dan kanak-kanak, keupayaan menyelamatkan diri mereka agak terbatas," katanya.

Beliau dalam pada itu menasihati orang ramai supaya berhati-hati melakukan aktiviti di kawasan punca air bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang pada Rabu itu, enam sekeluarga bersama seorang pengasuh yang sedang menjalankan aktiviti berkelah di kawasan sungai terperangkap dalam kepala air.

Empat daripada mangsa iaitu seorang wanita bersama tiga anaknya hilang dihanyutkan arus deras sementara tiga lagi terselamat.

Jasad Aszura Bani, 37, ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi perkelahan oleh penduduk kampung sekitar jam 4.30 petang manakala anak lelakinya, Hafiy Muhayat Azam, 4, dijumpai pada 9.50 malam.

Kejadian itu turut melibatkan kakak Aszura, Aslinda Bani, 38, dan anak lelakinya berusia 11 tahun, mereka bagaimanapun terselamat dalam kejadian terbabit.

Pengasuh wanita warga Indonesia berusia 30-an pula berjaya diselamatkan penduduk selepas berpaut pada batu besar iaitu kira-kira 100 meter dari lokasi perkelahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!