Tiada pihak ketiga dilantik dapatkan maklumat akaun pelanggan - Bank Islam

Bank Islam
Bank Islam
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menegaskan tiada mana-mana pihak ketiga yang dilantik untuk mendapatkan maklumat dan butiran akaun pelanggan.

Bagaimanapun, pihaknya mengingatkan orang ramai agar sentiasa melindungi butiran peribadi dan akaun daripada kaedah penipuan pancingan data (phishing) serta perisian hasad (malware).

Peneraju perbankan Islam itu berkata, sebarang perubahan butiran dan akaun pelanggan hanya boleh dilakukan menerusi perbankan internet di laman sesawang rasmi atau aplikasi mudah alih GO by Bank Islam, GO Biz by Bank Islam serta Be U by Bank Islam.

“Muat turun perlu dilakukan daripada gedung aplikasi rasmi seperti Google Play Store dan Apple Apps Store.

“Pelanggan diminta untuk tidak menyimpan maklumat nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam pelayar laman sesawang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pancingan data adalah amalan menghantar emel atau mesej secara dalam talian daripada pihak yang menyamar sebagai syarikat sah agar pengguna mendedahkan kata laluan, nombor akaun, kad kredit, debit dan butiran penting lain.

Perisian hasad pula direka khas untuk mendapatkan maklumat, merisik, mengawal dan menyerang peranti peribadi pengguna seperti telefon, jam pintar, tablet serta komputer.

Pihak tidak bertanggungjawab akan menggunakan maklumat sulit yang dicuri untuk mengubah tetapan peranti dan mengakses aplikasi pengguna termasuk platform penting seperti perbankan atau emel.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Bank Islam memaklumkan, orang ramai boleh mengamalkan kawalan kendiri dengan tidak mendedahkan butiran peribadi, akaun serta kata laluan kepada pihak ketiga.

Menurutnya lagi, pelanggan perlu berwaspada apabila terdapat aplikasi yang meminta kebenaran akses dan tidak menekan atau memuat turun teks serta emel mengandungi pautan tidak dikenali.

“Gunakan fungsi pengesahan dua faktor (two-factor authentication), kemaskini antivirus, tukar kata laluan secara berkala dan pantau akaun serta penyata bagi mengesan aktiviti perbankan yang mencurigakan.

“Kami mengambil langkah proaktif dalam memastikan keselamatan akaun deposit dan transaksi pelanggan selamat di samping melaksanakan pengawasan keselamatan serta kawalselia mematuhi standard industri.

“Bank Islam memahami kepentingan kepercayaan dan amanah dalam aspek hubungan perbankan selain bersedia untuk memberi khidmat yang profesional serta prihatin,” ujarnya.