KKM komited tingkat perkhidmatan, perbelanjaan sektor kesihatan

Dzulkefly
Dzulkefly
A
A
A
KUALA LUMPUR - Meningkatkan perbelanjaan negara dalam sektor kesihatan dan menambah baik perkhidmatan kesihatan oleh sektor awam dan swasta antara cabaran terbesar dan agenda utama Kementerian Kesihatan (KKM), kata Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sejak mula mengemudi kementerian itu pada Mei 2018, beliau melihat walaupun negara kini berada pada status 'upper middle income' atau pendapatan pertengahan atas, malangnya sejak hampir dua dekad lalu perbelanjaan negara dalam sektor kesihatan dianggapnya sebagai 'underspending' atau kurang pembiayaan.

Dr Dzulkefly berkata, maka tidak hairanlah apabila dapatan Audit Negara menunjukkan bahawa jabatan kecemasan dan trauma hospital kerajaan adalah kurang pembiayaan, kurang kakitangan dan terlebih kerja sekali gus mengakibatkan kesesakan dan masa menunggu yang lama bagi pesakit.

Menyedari hakikat itu, beliau berkata, antara perkara dilakukannya adalah mendapatkan komitmen Perdana Menteri dan Menteri Kewangan supaya peruntukan disediakan lebih munasabah untuk melakukan 'catch up' atau mempercepatkan pembangunan kesihatan yang sudah agak ketinggalan.

"Perkara itu membuahkan hasil apabila peruntukan Belanjawan 2020 bagi kementerian itu ditingkatkan kepada RM30.7 bilion berbanding RM28.68 bilion pada Belanjawan 2019," katanya ketika menjadi tetamu 'Bicara Naratif: Pencapaian Kementerian Kesihatan Malaysia 2019' yang disiar secara langsung di saluran TV1 RTM malam tadi.

"Saya tidak memandang hanya kepada pihak kerajaan atau awam, kita adalah KKM, kita bukan hanya 'custodian of health' ataupun penyelia kesihatan awam, kita juga adalah 'custodian of health' untuk seluruhnya. Dengan lain kata awam dan swasta," katanya.



Jelasnya, beliau melihat peranan besar dimainkan pihak swasta dalam membantu mempertingkat perkhidmatan penyampaian kesihatan, mengambil contoh penglibatan Klinik Perubatan Am swasta dalam Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

"Saya memandang swasta sebagai partner saya, bukan sebagai pesaing saya. Saya mahu pihak swasta juga pertingkatkan penyampaian berasaskan nilai bukan saja aspek penyembuhan tapi juga pencegahan," katanya.

Berhubung larangan merokok secara penguatkuasaan pendidikan bermula 1 Januari 2019 dan penguatkuasaan penuh pada 1 Januari lepas, Dr Dzulkefly berkata, beliau tidak mahu dilihat sebagai musuh perokok dan sebenarnya tidak senang dan khuatir dengan persepsi itu.

"Saya adalah menteri kesihatan yang cuba untuk mengawal selia, perokok boleh merokok tapi di tempat yang sesuai," katanya.
Artikel Berkaitan:


Katanya, banyak rakyat negara kini berdepan dengan apa yang diistilahkan sebagai 'kematian pramatang' atau 'premature death' dan ia antara lain disumbang faktor penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu kencing manis, darah tinggi, tinggi lemak, tinggi kolesterol, ditambah cara hidup moden yang kurang bersenam, merokok, minum arak dan kegemukan atau obesiti .

"Saya mengambil langkah ini sebab salah satu faktor risiko yang menyebabkan lagi komplikasi kepada diabetes dan hipertensi adalah rokok, itu menyebabkan mati pramatang, sebab itu saya mengambil (langkah) ini dengan niat untuk penjagaan nyawa," katanya.

Menyentuh soal kesesakan di hospital kerajaan yang sekian lama diperkatakan, Dr Dzulkefly berkata' kementerian sangat serius dalam menangani hal itu dan mengakui ia antara lain turut disumbang faktor projek 'sakit' kemudahan perubatan yang gagal menepati tempoh siap ditetapkan.

Katanya, beliau bersikap amat tegas terhadap kontraktor projek pembinaan yang dilihat bersikap sambil lewa, misalnya apabila beliau menamatkan khidmat kontraktor pembinaan Hospital Petra Jaya, Sarawak, ekoran kegagalan menyiapkan kemudahan itu yang sepatutnya siap pada November 2016.

"Ia memberi isyarat saya tidak ‘tolerate’ (tolak ansur) dalam (soal) sediakan fasiliti untuk rakyat,” katanya.

Pada ketika negara berhadapan dengan cabaran NCD seperti diabetes dan hipertensi, penyakit berjangkit pula kembali 'menjenguk' setelah sekian lama, seperti difteria, polio dan mutakhir ini, influenza, kata Dr Dzulkefly.

Beliau berkata, berkait perkara itu, kebimbangan pastinya turut terarah pada golongan antivaksin dengan cabaran antara lain untuk mencapai sasaran tahap 95 peratus imuniti kelompok

"Penyakit-penyakit ini boleh dicegah dengan suntikan vaksin, ia mampu disekat, dihalang dan ditangani dengan imunisasi, kenapa kita mesti menolak ini," katanya yang turut menyatakan pernah berpengalaman sebagai tenaga pengajar farmakologi dan toksikologi sebelum ini.

Tidak mahu menyalahkan golongan antivaksin secara keseluruhannya, beliau turut merayu pada golongan itu agar berlaku adil kepada anak-anak mereka dengan memberikan mereka suntikan vaksin dan tidak menggembar-gemburkan perkara yang akan menakutkan rakyat. - Bernama