Jururawat Melayu suap makan kepada pesakit India dapat pengiktirafan KKM

Sikap mulia jururawat yang dikenali sebagai Nur Deena Nadzhiefa menyuap makanan kepada lelaki berbangsa India menerima pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sikap mulia jururawat yang dikenali sebagai Nur Deena Nadzhiefa menyuap makanan kepada lelaki berbangsa India menerima pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemanusiaan mengatasi perbezaan kaum, kulit dan agama dan ia ditunjukkan melalui sikap penuh empati seorang jururawat yang tular di media sosial kerana menyantuni pesakit warga emas berbangsa India, baru-baru ini.

Sikap mulia jururawat yang dikenali sebagai Nur Deena Nadzhiefa itu menerima pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau berpeluang bertemu sendiri jururawat berkenaan, semasa majlis perasmian bangunan baharu Hospital Seberang Jaya, pada Sabtu.

Menurutnya, video tular yang memaparkan keikhlasan Nur Deena dalam melayani pesakit berkenaan benar-benar menyentuh perasaan dan mencerminkan nilai ihsan yang tinggi dalam profesion kejururawatan.

“Anugerah yang saya sampaikan ini kecil nilainya berbanding nilai ihsan yang ditunjukkan oleh Deena.

"Beliau membuktikan bahawa ubat paling mujarab di hospital bukan hanya pil atau suntikan, tetapi layanan penuh empati,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dr Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada Nur Deena kerana berjaya menghidupkan semangat ‘Malaysia’ dalam tugasan hariannya serta berharap sikap terpuji itu menjadi inspirasi kepada seluruh warga kesihatan dan masyarakat.

"Pengiktirafan tersebut disifatkan sebagai simbol penghargaan terhadap nilai kemanusiaan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan komitmen KKM dalam membudayakan perkhidmatan kesihatan yang prihatin serta berteraskan empati," ujarnya. - Awani 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kemanusiaan mengatasi perbezaan kaum dengan sikap penuh empati jururawat terhadap pesakit warga emas India
  • Jururawat bernama Nur Deena Nadzhiefa mendapat pengiktirafan dari Kementerian Kesihatan Malaysia
  • Menteri Kesihatan bertemu Nur Deena pada majlis perasmian bangunan baharu Hospital Seberang Jaya
  • Video tular menunjukkan keikhlasan Nur Deena merawat pesakit mencerminkan nilai ihsan dalam kejururawatan
  • Dr Dzulkefly menghargai Nur Deena menghidupkan semangat 'Malaysia' dengan layanan penuh empati

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!