Konflik di Gaza cetus implikasi mendalam bagi kestabilan, keseimbangan kuasa

Konflik di Gaza telah lama menjadi tumpuan serantau dan perhatian antarabangsa, mencerminkan anjakan geopolitik dan dinamik kuasa yang lebih luas. - Foto: EPA
Konflik di Gaza telah lama menjadi tumpuan serantau dan perhatian antarabangsa, mencerminkan anjakan geopolitik dan dinamik kuasa yang lebih luas. - Foto: EPA
A
A
A
KUALA LUMPUR - Trajektori masa depan konflik di Gaza memberi kesan mendalam terhadap kestabilan serantau dan keseimbangan kuasa di seluruh dunia, seiring dengan perubahan ‘pakatan kuasa tradisional’ dan kemunculan kuasa baharu global, menurut Presiden Forum Al-Sharq, Wadah Khanfar.

Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia menyatakan bahawa Wadah, yang juga bekas Ketua Pengarah Al-Jazeera, menyampaikan analisis yang menarik mengenai konflik di Gaza dalam rangka dinamik peralihan aturan dunia kontemporari semasa ceramah yang dihoskan oleh IAIS pada Khamis.

IAIS berkata, ucapan Khanfar memberikan penerangan mengenai pelbagai aspek konflik berkenaan, termasuk sejarahnya, perkembangan semasa dan trajektori masa depan yang mungkin.

"Beliau menekankan peranan penting peralihan geopolitik, dinamik kuasa yang muncul dan pakatan yang berubah dalam membentuk peristiwa di rantau itu," menurut IAIS dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Semasa mengakhiri syarahannya, Khanfar mencadangkan Malaysia menjemput wakil kerajaan Afrika Selatan ke negara ini untuk menerima ucapan terima kasih dan penghargaan rasmi bagi pihak masyarakat Islam atas usaha dan kejayaan mereka membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Artikel Berkaitan:


IAIS menegaskan bahawa konflik di Gaza telah lama menjadi tumpuan serantau dan perhatian antarabangsa, mencerminkan anjakan geopolitik dan dinamik kuasa yang lebih luas.

Menurut kenyataan itu, berlatarbelakangkan aturan global yang berubah dengan cepat, peningkatan permusuhan baru-baru ini sekali lagi mengakibatkan situasi tidak menentu. - Bernama