Orang Islam wajib pertahan syariat ALLAH

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap penganut Islam yang setia wajib mempertahankan syariat ALLAH yang tidak berpisah dengan rukun keimanan dan keislaman.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tentangan terhadap Islam kini dianggap terpencil dan berfikiran di luar sempadan tabii budaya ilmu yang tinggi.

Katanya, kewajipan besar ialah menyelamatkan iman dan Islam dalam kalangan yang tenggelam dalam kejahilan beragama membawa kecelakaan dunia dan akhirat.

"Percayalah bahawa tindakan zalim terhadap Islam tidak boleh membatalkan kemuliaan Islam daripada ALLAH. Semua kuasa besar yang mencabar ALLAH tenggelam dalam lipatan sejarah.

"ALLAH telah meletakkan sesiapa menolak syariat dan menggantikannya dengan yang lain ialah amalan syirik (sesat dengan mengadakan tuhan selain Allah), dosa paling besar," ujarnya menerusi laman Facebook pada Jumaat.

Menurutnya, pada era penjajah berkuasa dahulu yang secara langsung memerintah umat Islam, syariat Islam dihalang pelaksanaannya secara penghapusan dalam amalan ataupun dipenjarakan dan dikongkong dengan kawalan undang-undang tertentu.

"Syariat Islam hanya diizinkan dalam aspek ibadat dan amalan peribadi. Di samping itu, wujud gerakan yang mengelirukan dengan tuduhan-tuduhan fitnah seperti syariat Islam menentang kebebasan dan kemajuan sehinggalah tuduhan liar menakutkan, seterusnya mencetuskan Islamofobia.

"Namun, terdedah kezalimannya terhadap Islam apabila mencetuskan pengajian ingin tahu secara ilmu dan terdedahnya kelemahan ideologi serta teori ciptaan manusia sehingga peringkat Islam mempengaruhi pemikiran musuhnya serta tercetus kenyataan terbuka membela syariat Islam oleh musuhnya sendiri,'' ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Abdul Hadi, sesiapa yang membaca al-Quran pasti bermula dengan Surah al-Fatihah.

"Surah al-Fatihah ialah permulaan al-Quran, kitab suci terakhir daripada ALLAH kepada rasul akhir zaman. Doanya pula secara langsung menghadap ALLAH ketika solat dan memohon petunjuk ke jalan yang benar.

"Seterusnya, diikuti dengan Surah al-Baqarah, ALLAH membahagikan manusia terhadap petunjuk-Nya kepada tiga kumpulan," jelasnya.