Siapa rugi apabila guru cemerlang undur diri?

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

AGAK mengejutkan apabila Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh, guru yang pernah tular mengkritik sistem pendidikan dan hampir dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja pada tahun 2022 mengumumkan bersara awal selepas 18 tahun berkhidmat.

Sebelum ini beliau lantang membangkitkan beberapa isu yang mendapat sokongan kebanyakan ibu bapa.

Antara hal dibangkitkan ialah beg berat, silibus subjek terlalu tinggi, bilangan murid ramai di dalam kelas dan subjek pembelajaran yang banyak.

Beliau juga mendakwa terdapat Little Napoleon di dalam pendidikan negara yang menyebabkan rosaknya seluruh sistem.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi Jidin.

Guru subjek Matematik itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab utama beliau mengundur diri.

Beliau bagaimanapun merungkai semua persoalan apabila membuat lintas langsung menerusi Facebook kelmarin. Tegas Cikgu Fadli, beliau masih sayang dan percaya kepada sistem pendidikan negara, namun banyak perkara perlu diubah.

Beliau memohon agar golongan guru diberi ruang untuk memberi idea dan pendapat untuk penambahbaikan, memandangkan sebelum ini mereka terikat dengan akta dan tidak dibenarkan mengulas dasar kerajaan secara terbuka.

Artikel Berkaitan:

Dalam siaran selama 44 minit itu juga, Cikgu Fadli merayu kepada pegawai dan pihak berkepentingan di Kementerian Pendidikan agar mula bertindak untuk melakukan reformasi dalam sistem pendidikan.

Sebelum ini, seorang guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang di Muadzam Shah, Pahang, Samuel Isaiah juga mengambil langkah serupa iaitu berhenti dan kemudian menyumbang bakti kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan.

Beliau yang pernah terpilih sebagai 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020 terkenal dengan usahanya melakukan pelbagai inovasi kepada pelajar Orang Asli di pedalaman dan berusaha menghubungkan mereka ke dunia luar.

Jika diamati, pengunduran guru terutama yang mempunyai prestasi cemerlang di sekolah adalah satu kerugian besar kepada negara.

Sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian, tidak mustahil negara akan kehilangan lebih ramai lagi guru berinovasi tinggi yang mampu mengubah generasi baharu ke arah lebih baik.