'Sudah tiba masanya 'petualang' dikenakan tindakan'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dari tempoh 2020 hingga 2021 mengenai berlakunya ketirisan wang awam dan pembaziran perlu diambil perhatian serius oleh pihak berkuasa.

Ketua Pasukan Rasuah Busters Perlis, Nor Halmey Hamdah berkata, tindakan segera secara menyeluruh perlu diambil bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

"Perkara ni sangat mengecewakan rakyat. Kita telah menaruh harapan tinggi kepada pegawai-pegawai untuk melaksanakan tugas besar untuk negara.

"Maka sudah tiba masanya 'petualang' ini dikenakan tindakan, langkah drastik dan holistik juga perlu dilaksanakan segera," katanya kepada Rasuah Busters pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas pendedahan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh bahawa Laporan Audit dari tempoh 2020 hingga 2021 mengenal pasti sebanyak 24 isu melibatkan ketirisan wang awam dan pembaziran di beberapa kementerian, agensi serta jabatan peringkat Persekutuan serta negeri.

Ramkarpal Singh berkata, isu-isu yang diletakkan sebagai kategori punitif itu melibatkan ketirisan dari segi kehilangan wang awam dan pembaziran serius sama ada telah selesai diambil tindakan atau masih dalam siasatan lanjut.

Jelas Ramkarpal Singh sehingga 30 Oktober 2023, 12 isu telah selesai disiasat iaitu dua isu melibatkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 10 isu melibatkan siasatan oleh Jawatankuasa Khas Siasatan dan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang diselaraskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sementara katanya lagi, 12 isu masih dalam siasatan iaitu lima isu melibatkan siasatan oleh SPRM, enam siasatan isu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu siasatan isu oleh Malaysia Competition Commission (MyCC).

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, Nor Halmey mencadangkan supaya pemantauan berkala dilaksanakan melibatkan semua agensi penguatkuasaan terhadap pihak yang terbabit.

"Misalnya dipantau juga pegawai-pegawai yang hidup terlalu mewah, selain pengisytiharaan harta perlu untuk pengawai gred 48 ke atas.

"Mereka yang mempunyai kuasa meluluskan tender juga perlu selalu dilakukan pertukaran jabatan, ini juga salah satu langkah yang boleh dilakukan," katanya.