[VIDEO] Tidak mahu Samirah, dua remaja disabitkan

A
A
A

PUTRAJAYA – Kakak Allahyarham Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan yang dibunuh dalam kebakaran pada 2018 lalu, menyatakan tidak mahu adik iparnya, Samirah Muzaffar dipenjara atau ke tali gantung.

Che Elainee Che Hassan, 67, berkata demikian ketika sidang akhbar selepas keputusan di Mahkamah Rayuan pada Khamis, yang mengekalkan pembebasan Samirah dan dua remaja berusia 19 dan 22 tahun atas tuduhan membunuh.

Menurutnya, ahli keluarganya berada dalam keadaan serba salah dan masih bersedih dengan kematian Nazrin.

Katanya, mereka menerima keputusan Mahkamah Rayuan itu dengan hati yang terbuka dan menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi.

“Walaupun sedih adik kami mati tapi pada masa sama kami tidak mahu Samirah disabitkan, dipenjara atau dihukum gantung.

“Kami reda, doakan semua ahli keluarga saya kuat,” katanya yang turut menambah, mereka menyerahkan keputusan sama ada pihak pendakwaan akan membuat rayuan berhubung keputusan ini, di Mahkamah Persekutuan kelak.

Che Elainee (kiri) hadir di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Khamis, untuk mendengar kes rayuan pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepaskan dan membebaskan Samirah serta dua remaja daripada pertuduhan membunuh Nazrin.
Che Elainee (kiri) hadir di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Khamis, untuk mendengar kes rayuan pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepaskan dan membebaskan Samirah serta dua remaja daripada pertuduhan membunuh Nazrin.

Pada petang Khamis, Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan pembebasan responden atas pertuduhan membunuh Nazrin, enam tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli memutuskan demikian selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor yang melepaskan dan membebaskan mereka daripada pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, Samirah, 49, dua remaja dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

Pada 21 Jun 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam (ketika itu), Datuk Ab Karim Ab Rahman, melepaskan dan membebaskan ketiga-tiga individu berkenaan, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Dalam penghakimannya, Ab Karim dilaporkan berkata, pasukan pendakwaan hanya membuat andaian semata-mata apabila mendakwa ketiga-tiga mereka membunuh CEO Cradle Fund itu seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan.