Mesyuarat bincang persiapan hadapi kesan El Nino 22 Februari ini

Nik Nazmi menyampaikan ucapan ketika merasmikan Sesi Dialog Pasca Persidangan UNFCCC-COP28 dan RUU Perubahan Iklim di sebuah hotel pada Khamis. Foto Bernama
Nik Nazmi menyampaikan ucapan ketika merasmikan Sesi Dialog Pasca Persidangan UNFCCC-COP28 dan RUU Perubahan Iklim di sebuah hotel pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu mesyuarat untuk membincangkan persiapan negara bagi menghadapi kesan fenomena El Nino dan jerebu akan diadakan pada 22 Februari ini di Putrajaya.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mesyuarat itu akan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi antaranya Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Belia dan Sukan.

"Sebagaimana kita tahu (El Nino pada tahun ini) lebih kering dan panas daripada biasa. Ia bermula sejak tahun lepas yang juga merekodkan cuaca terpanas dalam sejarah dunia. Kita hendak memastikan persediaan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Dialog Pasca Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP 28) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, di sini pada Khamis.

Nik Nazmi ketika mendengar ucapan daripada Ketua Pegawai Kelestarian Petronas, Charlotte Wolff-Bye ketika sesi forum mengenai Persidangan Negara Ahli Kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-28 (UNFCCC-COP28) di sebuah hotel pada Khamis. Foto Bernama

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan media hari ini berkata, fenomena El Nino dengan intensiti kuat yang sedang melanda dunia ketika ini, dijangka berterusan hingga pertengahan tahun ini.

Muhammad Helmi berkata, fenomena itu bermula sejak pertengahan tahun lalu dan boleh berterusan sehingga 18 bulan.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, pihaknya juga mengadakan perbincangan mengenai langkah untuk mengatasi masalah kebakaran tanah gambut dan jerebu rentas sempadan bersama pihak terlibat termasuk dari Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Oktober tahun lepas, Nik Nazmi dilapor berkata, Malaysia telah menghantar surat kepada Indonesia bagi menyelesaikan segera Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).

Surat berkenaan ditujukan kepada rakan sejawatnya di Indonesia susulan arahan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya penyelarasan dibuat dengan rakan sejawat dalam ASEAN bagi menyelesaikan masalah jerebu rentas sempadan. - Bernama