Kaji pindaan untuk lindungi kedaulatan undang-undang syariah - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan digesa agar mengkaji pindaan Perlembagaan yang bersesuaian bagi melindungi kedaulatan undang-undang syariah.

Tegas bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia sekaligus dapat memperkasa dan mempertahankan sistem kehakiman syariah negara.

"Esok (Jumaat), Mahkamah Persekutuan akan bersidang untuk memberi keputusan dalam kes petisyen yang difailkan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid terhadap Kerajaan Kelantan bagi mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri itu, terbatal dan tidak sah," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.

Ujar beliau, petisyen yang difailkan Nik Elon itu akan memberi kesan dan impak negatif kepada sistem perundangan syariah bukan sahaja Kelantan tetapi di seluruh negara.

"Menginsafi peristiwa yang mendukacitakan ini, saya menyeru agar Ahli Parlimen khususnya yang beragama Islam sebagai anggota badan legislatif untuk bersatu dan berdiri teguh di belakang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan bersedia menjunjung apa jua titah serta perkenan sekalian baginda dalam mempertahankan sistem perundangan Islam di negara.

"Marilah kita semua berdoa agar keputusan Mahkamah Persekutuan esok akan menyebelahi Kerajaan Kelantan dan umat Islam secara keseluruhannya." katanya lagi.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menetapkan Jumaat sebagai keputusan petisyen yang difailkan peguam, Nik Elin dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman terhadap 18 Enakmen Kanun Jenayah (1) Kelantan 2019.

Ia membabitkan Seksyen 11 iaitu memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat; Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral); Seksyen 14 (liwat); Seksyen 16 (persetubuhan dengan mayat); Seksyen 17 (hubungan seksual dengan bukan manusia); Seksyen 30 (perkataan yang boleh memecahkan keamanan).

Artikel Berkaitan:

Selain itu ia antaranya turut terlibat Seksyen 31(gangguan seksual); Seksyen 34 (memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu); Seksyen 36 (apa-apa yang memabukkan); Bahagian 39 (mengurangkan skala, ukuran dan berat); Seksyen 40 (melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan 'hukum syarak' (undang-undang syariah) dan Seksyen 41 (melaksanakan urus niaga melalui riba).