Pindaan Perlembagaan: Kerajaan akan beri penjelasan kepada ahli Parlimen penyokong

Anwar ketika berucap merasmikan Malaysia Digital Expo 2023 Grand Finale di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia pada Isnin. - Foto: Bernama
Anwar ketika berucap merasmikan Malaysia Digital Expo 2023 Grand Finale di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia pada Isnin. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan memberi penerangan kepada ahli Parlimen penyokongnya mengenai cadangan pindaan perlembagaan berhubung pemberian taraf kerakyatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini kerana pindaan yang dicadangkan itu telah dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja.

"Ada had terhadap apa yang boleh kita lakukan. Selepas perbincangan, sebarang pindaan perlembagaan dalam isu kerakyatan perlu mendapat perkenan Majlis Raja-raja.

"Jadi Majlis Raja-raja akan mengambil pendirian tertentu mengenainya, dan kita perlu menghormatinya. Kita perlu menjelaskan kepada Ahli Parlimen penyokong kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malaysia Digital Expo 2023 Grand Finale di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Isnin,

Sebelum ini beberapa ahli Parlimen penyokong kerajaan termasuk Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee menerusi X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) mendakwa ada pihak yang tidak senang dengan cadangan pindaan itu.

Kerajaan bercadang untuk membentangkan satu pindaan bertujuan menyelesaikan isu berhubung taraf kewarganegaraan bagi anak-anak dilahirkan oleh wanita warga Malaysia di luar negara, yang bersuamikan warga asing.

Sementara itu, ditanya idea Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk memaparkan nama-nama ahli Parlimen yang dengan sengaja tidak hadir persidangan dewan di laman web Dewan Rakyat supaya pengundi kawasan parlimen berkenaan maklum mengenainya, Anwar berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada budi bicara Speaker.

Anwar turut mengulangi ingatan kepada semua pihak agar tidak mempolitikkan konflik Israel-Palestin, kerana Malaysia telah mengambil beberapa ketetapan dalam soal berkenaan.

"Jangan sesekali cuba membina mahligai atas pusara. Satu ingatan kepada semua - buat kerja untuk cari derma dan cari bantuan. (Ada) Orang yang kerjanya sangat-sangat menyesatkan dari segi perkembangan politik, dia tidak buat apa, cari derma pun tiada, kerjanya hanya begitu sahaja (cerca)," katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia adalah antara negara paling cepat mendapat kelulusan bagi pesawat membawa sumbangan bantuan untuk mendarat, bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dapat disampaikan kepada rakyat Palestin di Gaza.

Beliau berkata, ada perkara-perkara atau hal yang dilakukan oleh kerajaan, tidak boleh diumumkan atas sebab-sebab tertentu dan ia juga tidak wajar untuk dipolitikkan.

Pada Ahad, Perdana Menteri berkata, pesawat Malaysia antara paling cepat sampai, diberi layanan untuk sampaikan bantuan kemanusiaan sumbangan Malaysia disebabkan hubungan baik negara dengan Mesir.

Sabtu lepas, pesawat kargo 9M-WCA yang membawa penghantaran pertama bantuan kemanusiaan sumbangan Malaysia untuk Palestin menerusi Ops Ihsan, telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Tentera El-Arish di Mesir, dan bantuan berupa 20 tan barangan perubatan, barangan bayi serta makanan itu diserahkan kepada wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk dibawa masuk ke Gaza melalui lintasan sempadan Rafah. - Bernama

Artikel Berkaitan: