Pindaan Perlembagaan, perundangan baharu dipertimbang masuk dalam NACS

Ramkarpal merangkap Ahli Parlimen Bukit Gelugor ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Bernama
Ramkarpal merangkap Ahli Parlimen Bukit Gelugor ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan Perlembagaan Persekutuan dan pengenalan kepada perundangan baharu antara 10 inisiatif yang dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam dokumen pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, NACS yang merupakan kesinambungan kepada Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) itu akan mengikut kesesuaian dan selaras dengan dasar semasa kerajaan.

Beliau berkata, pembangunan NACS akan mempertimbangkan pelbagai aspek dalam usaha memerangi rasuah secara komprehensif, termasuk melihat trend semasa, ambil kira dapatan penyelidikan dalam dan luar negara selain pandangan pelbagai pihak termasuk pihak berkepentingan.

"Usaha ini penting bagi memastikan sasaran kita berada dalam kalangan tangga 25 terbaik CPI (Indeks Persepsi Rasuah) dalam tempoh 10 tahun akan datang tercapai.

"CPI bukan sekadar melibatkan tangkapan dan pendakwaan rasuah, ia turut melibatkan pengukuhan demokrasi, keazaman politik, hak asasi manusia, daya saing ekonomi, penguatkuasaan serta amalan tata kelola baik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Ramkarpal berkata demikian bagi menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang mahu mengetahui status terkini NACP dan langkah lanjut bagi memastikan NACS adalah usaha komprehensif bagi mencapai kedudukan terbaik dalam CPI.

Sementara itu, Ramkarpal berkata, sehingga suku kedua tahun ini sebanyak 68 daripada 111 inisiatif NACP telah siap dilaksanakan.

"Penyiapan ini adalah di peringkat output oleh Ketua-Ketua Agensi Peneraju yang telah ditetapkan dalam dokumen NACP. Buat masa ini, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) kekal memantau pelaksanaan inisiatif NACP sehingga tamat pelaksanaannya menjelang Disember 2023.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan melalui SPRM optimis penyiapan inisiatif NACP yang berbaki dapat dilaksanakan oleh Ketua Agensi Peneraju dan menjangkakan 91 peratus penyiapan inisiatif menjelang hujung tahun,” katanya. - Bernama