Pusat Pengumpulan Padi Negeri Sembilan sudah beroperasi

Jalaluddin (tengah) pada program Jualan Agro Madani di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Lui pada Khamis.
Jalaluddin (tengah) pada program Jualan Agro Madani di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Lui pada Khamis.
A
A
A

JEMPOL - Pusat Pengumpulan Padi Negeri Sembilan yang terletak di Melang, Kuala Pilah sudah mula beroperasi pada Rabu sebagai usaha membekalkan beras tempatan terutama kepada penduduk di negeri ini.

Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pusat pengumpulan itu dijangka mampu mengeluarkan kira-kira 3,100 tan metrik padi bagi dua musim.

"Sesi libat urus bersama 49 pesawah dan syarikat yang dilantik bagi membeli padi dari seluruh negeri ini juga sudah diadakan semalam (Rabu).

"Kita mahu padi yang ditanam di negeri ini dihantar ke pusat pengumpulan padi sebelum dihantar ke kilang untuk diproses," katanya ditemui pada program Jualan Agro Madani di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Lui pada Khamis.

Ujarnya, antara persefahaman yang wujud dengan syarikat dilantik adalah pihak itu mengumpulkan padi kemudian dihantar ke kilang untuk diproses dan dibungkus sebelum beras itu dihantar semula untuk pasaran di negeri ini.

"Sebelum ini, padi dari negeri ini dihantar ke kilang seperti di Selangor, Johor dan Melaka namun beras itu kemudian dijual ditempat lain, akhirnya penduduk negeri ini beli beras dari tempat lain pula," katanya.

Jalaluddin yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan berkata, kerajaan mahu melihat beras menerusi hasil padi di negeri dapat dijual kepada penduduk di sini dalam tahun ini juga.

Justeru, katanya bagi menambah bekalan beras bagi penduduk di negeri ini, syarikat tersebut juga diminta menambah bekalan diantara 20 hingga 40 tan metrik pada setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

"Jika jumlah beras itu mencukupi, usaha mewujudkan beras sendiri dengan penjenamaan semula sebagai beras Negeri Sembilan dapat dilaksanakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata, kerajaan negeri sedang berusaha menambah jumlah kawasan tanaman padi sehingga 1,500 hektar berbanding 1,100 hektar ketika ini.