[VIDEO] ‘Saya sebagai orang Cina resah, apa lagi orang Melayu-’ Ridhuan Tee

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan yang dikeluarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming didakwa memalukan kaum Cina malah ia dianggap rasis serta mengganggu keharmonian kaum.

Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan oleh menteri dan juga negarawan terutama ia melibatkan isu sensitif.

“Saya sebagai orang Cina pun resah apatah lagi orang Melayu.

“Malaysia terbentuk pada tahun 1963 manakala darurat pula berlaku 1948 dan kini sudah 2024, usia Kampung Baru Cina tidak sampai 76 tahun.

“Terdapat kampung sudah mencecah lebih 100 tahun, mengapa tidak ambil kampung itu untuk diiktiraf?” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar tergempar menolak cadangan mengiktiraf Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) yang dibuat di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru dekat sini pada Khamis.

Ridhuan Tee ketika sidang akhbar tergempar menolak cadangan mengiktiraf kampung baru Cina sebagai Tapak Warisan UNESCO di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru pada Khamis.
Ridhuan Tee ketika sidang akhbar tergempar menolak cadangan mengiktiraf kampung baru Cina sebagai Tapak Warisan UNESCO di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir menyuarakan bantahan cadangan itu ialah wakil dari kira-kira 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam di negara ini.

Sebelum ini, Kor Ming mencadangkan agar mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Menurutnya, perkara berkenaan akan dibincangkan lebih terperinci dengan kerajaan Selangor.

Pada Jun tahun lalu, beliau juga mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Warisan Dunia UNESCO.

Mengulas lanjut, Ridhuan berkata, sejarah yang diajar di sekolah persendirian perlu dikaji semula supaya ia tidak dimanipulasi oleh sesetengah pihak.

Ujarnya, kerajaan perlu melihat perkara tersebut secara serius memandangkan individu itu memegang portfolio sebagai menteri.

“Kalau tengok rekod beliau seolah-olah mewakili satu kaum sahaja iaitu bangsa Cina, sedangkan beliau duduk di Malaysia yang ada asal usul dan sejarahnya.

“Saya setuju semua cadangan rakan NGO supaya menteri ini segera dipecat kerana boleh menimbulkan masalah dalam negara,” katanya.