Lapan individu disyaki sindiket tawaran kerja tidak wujud diberkas

Ahmad Sukarno (tiga kanan) menunjukkan rampasan dalam serbuan di di dua unit kondominium di Taman Wahyu, di sini, pada Selasa lalu.
Ahmad Sukarno (tiga kanan) menunjukkan rampasan dalam serbuan di di dua unit kondominium di Taman Wahyu, di sini, pada Selasa lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan operasi 'calling centre' yang menjalankan sindiket tawaran kerja sambilan tidak wujud dalam serbuan di dua unit kondominium di Taman Wahyu, di sini, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, sindiket yang menyasarkan warga United Kingdom sebagai mangsa dengan menawarkan kerja tidak wujud itu disyaki telah beroperasi sejak bulan lalu.

"Seramai lapan individu termasuk seorang wanita warga tempatan berusia 16 tahun hingga 28 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan.

"Kita turut merampas sembilan set komputer, 19 telefon bimbit pelbagai jenis, dua unit router, dua modem, serangkai anak kunci dan satu kad akses ke unit kondominium tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, pada Khamis.

Ahmad Sukarno berkata, modus operandi sindiket itu adalah mereka menghantar pesanan ringkas secara rawak melalui aplikasi WhatsApp yang mengandungi pautan iklan pekerjaan dalam talian kepada mangsa dengan menggunakan nombor telefon negara berkenaan.

"Mangsa yang berminat kemudian mendaftar di satu pautan, dalam pautan tersebut mangsa diarahkan untuk menyelesaikan tugasan seperti 'like' iklan bagi pakej percutian dengan pembayaran deposit dalam mata wang kripto.

Ahmad Sukarno (tiga kanan) menunjukkan rampasan dadah.
Ahmad Sukarno (tiga kanan) menunjukkan rampasan dadah.

"Mangsa ditawarkan komisen sebanyak 0.5 peratus sehingga lima peratus bagi setiap tugasan yang berjaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sindiket akan memberikan resit yang telah diubah suai untuk meyakinkan mangsa bahawa pembayaran komisen telah dibuat.

"Difahamkan sindiket berkenaan mengaut keuntungan sebanyak AS$3,000 sehari.

"Kesemua suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kes berasingan, Ahmad Sukarno berkata, seorang lelaki warga Myanmar berusia 50 tahun diberkas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

"Suspek yang juga seorang pekerja kilang itu ditahan di Taman Wilayah Selayang pada jam 10.15 malam, pada 3 Februari lalu.

"Kita turut merampas 42 peket plastik berisi pil yaba dan 28 botol berisi bahan disyaki dadah jenis kodein, anggaran nilai rampasan RM 45,140," katanya.

Ahmad Sukarno berkata, sumber bekalan dadah itu dipercayai diseludup oleh kawan suspek dari Thailand.

"Kawan suspek itu berjaya ditahan di Thailand sejurus dia menyerahkan dadah dan pulang ke negara berkenaan," katanya.

Ahmad Sukarno berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan benzo, lelaki itu ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.