'Energy stick': Orang ramai diminta salur adukan ke SISPAA KPM

Energy stick - Gambar hiasan
Energy stick - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Orang ramai diminta menyalurkan aduan mengenai penggunaan produk penyedut hidung atau energy stick dalam kalangan pelajar di laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia penting bagi memastikan kementerian dapat mengambil langkah sewajarnya berhubung perkara itu sebelum keadaan menjadi lebih mudarat.

"Bagaimanapun, setakat ini KPM masih belum menerima sebarang aduan melibatkan sekolah rendah dan menengah, tetapi sekiranya ada kita akan ambil tindakan tegas bagi memastikan kesihatan dan kebajikan pelajar terjamin.

"Kita mahu orang ramai khususnya pentadbiran setiap sekolah memantau perkara ini dan jika ada berlaku apa-apa kes, mereka hendaklah terus melaporkan kepada KPM," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Johor 2024 di Dewan Seminar Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor di sini pada Khamis.

Beliau berkata, KPM mempunyai pasukan untuk memantau aduan yang diterima dan setiap aduan akan dibincangkan dalam mesyuarat pasca-Kabinet.

Katanya, selain laman web SISPAA iaitu https://moe.spab.gov.my/eApps/system/index.do aduan berhubung perkara itu juga boleh disalurkan terus kepada JPN dan juga Pejabat Pendidikan Daerah.

Kah Woh berkata, KPM turut mengalu-alukan tindakan penguatkuasaan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap peniaga yang menjual produk tersebut terutamanya kepada pelajar sekolah.

Pada Ahad lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengakui pihaknya menerima aduan dan akan mengambil tindakan segera berhubung produk itu yang giat dijual dan dipromosikan menerusi media sosial.

Artikel Berkaitan:

Public Health Malaysia (PHM) sebelum ini juga memaklumkan produk pemula yang boleh mejerat pengguna kepada vape dan dadah itu adalah terkini di pasaran dan mula popular dalam kalangan pelajar selain dijual dengan harga serendah RM2.50 hingga RM10.

Mengulas mengenai pemberian BAP, Kah Woh berkata, KPM memperuntukkan sebanyak RM78.5 juta BAP kepada 523,342 pelajar di 1,192 buah sekolah seluruh Johor.

"Selain BAP, KPM turut menyediakan pelbagai jenis bantuan untuk membantu murid dan pelajar termasuk Bantuan Makanan Prasekolah (BMP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), peluasan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) dan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP).

"Kesemua bantuan ini membuktikan komitmen kami dalam menangani isu kemiskinan dan pada masa sama menoktahkan keciciran dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia," katanya.

Sementara itu, KKM telah menerima aduan awam berkenaan penjualan secara dalam talian, produk Energy Stick yang disyaki tidak berdaftar.

KKM dalam kenyataan pada Khamis menyatakan, hasil siasatan awal mendapati, keluaran tersebut merupakan bukan keluaran berdaftar dan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) seperti peruntukan undang-undang di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

"Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan dijalankan ke atas penjual yang dikesan menjual produk tersebut.

"Hasil saringan awal di platform e-dagang (e-marketplace) seperti Shopee dan Lazada, pihak KKM turut mengesan terdapat pengiklanan dan penjualan produk tersebut oleh penjual tempatan dan luar negara., " kata kenyataan tersebut.

Kementerian Kesihatan, katanya, melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya iaitu memastikan iklan-iklan produk tersebut diturunkan.

Tambahnya, penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Manakala, bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

"Pengguna perlu memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut," katanya.

Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan "Product Status” atau dengan menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1-800-88-6722. Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi tujuan semakan tersebut.

KKM turut komited dalam melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam melalui pemantauan secara berterusan. - Bernama